KUALA LUMPUR 16 MEI :Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam penahanan ahli perniagaan dari Singapura Abdul Majid Kunji Mohammad, 60 tahun di bawah Seksyen 73(1), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mendesak kerajaan membebaskan beliau dengan segera atau membicarakannya di mahkamah keadilan.
Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penahanan tanpa bicara Abdul Majid pada 6 Mei lalu atas tuduhan yang tidak terbukti melanggar prinsip asas hak asasi manusia, keadilan, agama dan piawaian antarabangsa..
“Penahanan Abdul Majid Kunji Mohammad adalah malafide kerana polis sendiri mengakui bahawa mereka tidak mempunyai sebarang bukti terhadap Abdul Majid,"kata Syed Ibrahim pada satu sidang media yang diadakan di ibu negara hari ini.
Abdul Majid yang sudah lebih 10 tahun menetap di Malaysia ditangkap pada 7 malam 6 Mei lalu atas tuduhan menyalurkan dana kepada kumpulan militan di Selatan Filipina.
Tuduhan berkenaan menurut GMI amat meragukan kerana Abdul Majid yang merupakan ahli perniagaan tekstil kini menghadapi masalah kewangan dan hampir muflis.
"GMI menilai tinggi keselamatan negara dan tidak merelakan aktiviti pengganas, tetapi hak seseorang terhadap perbicaraan yang adil tidak boleh dinafikan dalam keadaan apa pun. Sekiranya kerajaan memiliki bukti terhadap suspek, kami menggesa kerajaan untuk mendakwa mereka dalam mahkamah terbuka, sesuai dengan hak mereka untuk membela diri, hak mereka untuk mendapatkan khidmat peguam dan hak terhadap perbicaraan yang adil.
"Jika tidak, maka sesiapa pun termasuk Abdul Majid perlu dibebaskan tanpa tangguh dan tanpa syarat. Penahanan yang dibuat tidak menjustifikasi kepentingan ISA. Penahanan yang dibuat tanpa bukti dan tanpa bicara sebenarnya menjustifikasi akta zalim ISA. Menuduh seseorang melakukan jenayah tanpa mengemukakan bukti yang kredibel adalah fitnah. Menahan seseorang tanpa bicara dan tanpa peluang membela diri adalah tidak bertamadun,"katanya.
GMI turut menuntut pihak kerajaan menghentikan niat menghantar pulang Abdul Majid ke negara asalnya, Singapura tanpa sebarang proses perbicaraan.
"GMI juga menuntut sebarang undang-undang tanpa bicara dimansuhkan serta merta meliputi ISA, EO dan LLPK/DDA (1985),"katanya lagi.
No comments:
Post a Comment