Tuesday, May 24, 2011

Tabung Kemanusiaan Harakah untuk mangsa tanah runtuh



KUALA LUMPUR 24 MEI : Akhbar Lidah Rasmi PAS, Harakah akan menubuhkan tabung kemanusiaan bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa tanah runtuh di Rumah Anak- anak Yatim dan Anak- anak Hidayah Al- Taqwa, Hulu Langat.

Pengumpulan dana itu akan bermula hari ini dan hanya akan tamat 30 Jun akan datang.

Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, Harakah amat prihatin kepada nasib yang menimpa anak- anak yatim ini, justeru mengambil keputusan untuk menyalurkan bantuan disamping mengajak orang ramai untuk turut sama menderma.

"Kutipan itu kita akan khususkan untuk membantu keluarga dan pembangunan sekolah dan madrasah yang terlibat," kata Kamarudin.

Orang ramai yang berminat menghulurkan bantuan boleh depositkan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad, 1406 9010 0212 98 atas nama Tabung Kemanusiaan Harakah.

21 Mei lalu, Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa ranap ditimbus tanah runtuh yang meragut 16 nyawa manakala sembilan lagi terselamat.

Tragedi itu berlaku dipercayai akibat hujan lebat tanpa henti yang melanda kawasan Hulu Langat minggu lalu.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menyerahkan dana kemanusiaan sebanyak RM50'000 untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat serta pengurusan jenazah.

Bukan itu sahaja, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim juga mengumumkan derma kilat berjumlah RM1000 kepada setiap keluarga mangsa.

Kerajaan negeri juga akan mengadakan operasi pemutihan rumah-rumah perlindungan dan kebajikan di Selangor agar semuanya dalam pengetahuan kerajaan negeri disamping mudah untuk dipantau dari masa ke semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Kebudayaan Negeri, Rodziah Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan operasi pemutihan yang dinamakan sebagai Operasi Selangor Prihatin Masyarakat (Ops Selamat).

No comments: