Thursday, May 19, 2011

Tugas utama polis menjaga ketenteraman UMNO?

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Baru-baru ini kira-kira 800 nelayan di sekitar Daerah Kuala Muda dipanggil oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menerima bantuan sara diri RM200 sebulan di MRSM Merbok. Himpunan seperti itu adalah perkara biasa, di mana sebelum menerima bantuan para nelayan tersebut akan dihidangkan dengan ceramah pemimpin-pemimpin politik BN. Duit yang disumbangkan oleh nelayan itu digambarkan seolah-olah duit yang diambil dari tabung Umno.

Namun himpunan nelayan kali ini ada kelainannya di mana salah satu slot yang dihidangkan ialah ceramah yang kononnya berhubung isu-isu keselamatan negara.

Penceramahnya ialah Supt. Mohamad Nadzri Mat Isa, Unit Cawangan Khas Bukit Aman.

Di atas pentas itu dia membelasah Anwar, KeADILan, DAP dan PAS habis-habisan dengan ‘bahan-bahan bukti’ audio visual yang turut dipersembahkan.

Ceramahnya seratus peratus adalah propaganda politik untuk memburukkan Pakatan Rakyat di samping mempertahankan kerajaan BN.
Apa sebenarnya yang sudah berlaku pada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)? Mereka tanpa segan silu mendedahkan diri secara terbuka terbabit dalam kempen politik BN.

Sebelum ini Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali menuntut penjelasan dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung isu yang sama, iaitu polis dipergunakan untuk berkempen bagi pihak BN.

Beliau merujuk kepada tindakan Datuk Abdul Rahman Ismail dari Cawangan Khas yang memperalat Pejabat Pelajaran Daerah Bachok bagi menyebarkan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Azmin, ia dibuat pada 19 Februari 2011 dalam program ‘Seminar Isu-isu Keselamatan Negara Masa kini’ di dewan Seri Bentara, Sekolah Menengah Beris Panchor yang melibatkan penyertaan 2,000 warga pendidik seluruh Kelanatan.

“Seminar itu bukan mengenai keselamatan negara tetapi mengupas isu video seks dan tragedi Memali.

“Apakah jaminan Ketua Polis Negara untuk mempastikan institusi polis berwibawa menjaga keselamatan negara jika mereka sendiri terlibat dengan agenda politik UMNO BN, jawab dengan jujur,” desak Azmin.

Jawapan tidak diberi, Ketua Polis Negara menyepi, sebaliknya Cawangan Khas terus bermaharajalela menjelajah ke seluruh negara berkempen untuk BN.

Selama ini PDRM hanya dilihat berat sebelah; bertindak pantas terhadap himpunan anjuran PR dan ‘memberi laluan’ kepada program anjuran BN. Dalam demokrasi ala Malaysia, semua instrument kerajaan dipergunakan.

Bukan sahaja polis tetapi SPRM, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Penerangan dan hampir kesemua Kementerian digunakan untuk agenda politik BN. Tetapi PDRM digunakan untuk berkempen politik secara terbuka adalah julung kalinya. Apabila PDRM digunakan untuk berkempen bagi pihak BN maka ia benar-benar sudah melampau!

Apa yang lebih merbahaya ialah ceramah yang diberi bertemakan ‘ancaman keselamatan’ tetapi hakikatnya ancaman bukannya terhadap keselamatan tetapi terhadap penerusan politik BN. Perkataan ‘keselamatan’ diperalatkan sewenang-wenangnya untuk menghalalkan tindakan tidak bermoral mereka.

Jika benar DAP, KeADILan dan dan PAS menjadi ancaman kepada negara, apakah penyelesaiannya melalui ceramah politik membelasah mereka sedangkan selama ini kesemua parti politik tersebut tidak pernah dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri bagi menjelaskan apakah ancaman terhadap keselamatan yang telah dilakukan.

Tidak pernah ada tindakan pendahuluan dan susulan oleh PDRM, tiba-tiba PR sudah menjadi musuh negara walhal mereka masih sebuah parti politik yang berdaftar secara sah.

Isu PDRM berkempen politik untuk BN bukan perkara kecil. Ia tidak selesai dengan Azmin Ali membuat kenyataan terbuka menuntut Ketua Polis Negara memberi jawapan.

Pemimpin-pemimpin utama parti dalam PR mesti menghantar delegasi berjumpa Ketua Polis Negara atau Menteri Dalam Negeri menuntut penjelasan. Jangan anggap ia perkara biasa.

Dalam sejarah politik negara terlalu banyak penyalahgunaan kuasa jabatan kerajaan yang diperkudakan untuk membantu BN mengekalkan kuasa mereka, akhirnya ia menjadi ‘perkara biasa’ seolah-olah diterima oleh pihak pembangkang sendiri.

Jabatan Pendaftaran digunakan secara terang-terangan untuk membantu mengimport pengundi dari Sabah masuk ke Selangor; ia didedah dan dibantah tapi akhirnya kesemua pengundi import itu tersenarai juga dalam daftar pemilih.

SPR membantu mendaftarkan pengundi pos yang tidak munasabah dengan kapasiti kem tentera yang wujud; ia dibantah juga, namun mereka tetap tersenarai dalam daftar pemilih. Semua itu akhirnya menjadi ‘perkara biasa’.

Sejak merdeka semua media utama, termasuk RTM yang gajinya dibayar oleh rakyat digunakan untuk menjalankan kempen propaganda politik BN, ia sudah menjadi perkara biasa sehingga penentangan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan itu juga adalah perkara biasa, justeru tidak pernah dilayan.

Semua tahu BN sangat terdesak sekarang. Mereka begitu terasa sedang berasa di penghujung kuasa. Menggunakan PDRM adalah langkah terdesak tetapi amat berani.

Para pemimpin politik PR boleh dianggap sedang menggali lubang kubur sendiri jika penyalahgunaan jentera kerajaan sehingga ke tahap itu; ditentang secara sambil lewa sahaja. Usah bermimpi menawan Putrajaya jika PDRM sudah berkempen secara terbuka begitu membantu BN.

No comments: