Sunday, June 19, 2011

60 peratus calon PKR sudah ada

PRU 13 : PKR Tandingi Kerusi Pengundi Campuran


SHAH ALAM 19 JUN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertekad untuk bertanding di semua 97 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 nanti, kata Timbalan Presiden, Azmin Ali.

Katanya, PKR sudah berbincang bersama-sama PAS, DAP dan bersetuju bahawa kawasan yang mempunyai pengundi campuran, akan ditandingi oleh parti itu.

“Kerusi yang ditandingi oleh PKR (Sebelum ini) mungkin akan bertukar kepada DAP dalam PRU ke 13, saya tidak menolak kemungkinan itu mungkin berlaku,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR di sini, hari ini.

Menurut Azmin, keputusan PKR bertanding 97 kerusi telah dipersetujui oleh DAP dan PAS kerana ia merupakan formula yang digunakan pada PRU 2008.

Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata, walaupun kerusi campuran kaum ini merupakan satu igauan kepada PKR satu ketika dahulu namun sekarang, ia sudah berubah.

“Kita telah berbincang di peringkat pusat. Dan Keadilan mengambil pendirian untuk terus mewakili kawasan-kawasan campuran dalam PRU akan datang dan kita menegaskan akan terus mempertahankan kerusi-kerusi yang telah dimenangi sebelum ini dan kerusi-kerusi yang belum dimenangi dalam pilihanraya yang lepas,” katanya.

Malah menurut Azmin, PKR juga sudah mengenalpasti 60 peratus calonnya, yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan senarai itu akan dikemukakan kepada kepimpinan pusat dalam tempoh dua minggu untuk keputusan.

Jelasnya, nama-nama itu disenaraipendekkan oleh kepimpinan peringkat negeri untuk diteliti oleh biro politik bulan depan.

Menurut beliau proses perbincangan kerusi-kerusi yang melibatkan parti komponen Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS dan DAP masih berlangsung dan diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Sementara itu Azmin menegaskan semua wakil PKR sama ada ahli parlimen atau Adun di peringkat negeri tidak diberikan jaminan sama ada akan terus kekal pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dan kurang disenangi rakyat mungkin digugurkan.

No comments: