IPOH – Keadaan kemiskinan di negeri ini sangat menyedihkan biarpun negara ini sedang membangun dengan pesat.
Setiausaha Pemuda Pas Negeri, Salman Saleh berkata, Pemuda Pas Negeri amat terkejut dengan projek Bantuan Ikhlas Bina Upaya (BIBU) yang dikendalikan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dengan peruntukan bernilai RM4 juta bagi keperluan seramai 45,000 penerima miskin tegar mencakupi 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Beliau berkata, golongan keterbawahan itu pula terdiri daripada keluarga yang mempunyai anggota isi rumah lima orang ke atas dengan pendapatan bulanan RM750 ke bawah dan golongan warga emas dengan anggota isi rumah yang sama.
“Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila jumlah yang terkumpul seramai 45,000 penerima yang disenaraikan melalui senarai penerima yang layak ini yang dikenalpasti menerusi agensi-agensi seperti Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) melalui senarai E-kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Baitulmal dalam keadaan lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan.
“Kami memohon penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkenaan status jumlah yang telah dinyatakan tersebut sama ada ianya benar atau pun tidak?,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Salman berkata, pihaknya menganggap jumlah itu amat tinggi dalam keadaan negara sedang membangun dan amat sedih jika ianya benar-benar berlaku di Perak.
Beliau berkata, Pemuda Pas Negeri merasakan dengan jumlah RM4 juta tersebut amat kecil dibandingkan dengan jumlah penerima miskin tegar yang dinyatakan.
“Secara pembahagiannya, sebuah keluarga hanya akan memperoleh barangan keperluan kurang daripada RM100 sahaja iaitu RM88.89.
“Jumlah tersebut jelas terlalu kecil berikutan harga barangan yang akan dibayai seperti beras, minyak, gula, tepung, bihun, teh dan sardin yang telah naik mendadak kerana harga pasaran minyak dan elektrik yang naik baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata, kaedah sumbangan ‘one off’ itu tidak akan menyelesaikan masalah miskir tegar yang berjumlah 45,000 keluarga berkenaan.
“Kami mendesak agar proses penyediaan barangan yang akan dibekalkan dibuat secara tender terbuka jika ianya dibeli melalui pembelian besar atau menyeluruh.
“Kami juga berharap semua pihak akan memperolehi tender barangan tersebut secara mengikut ketetapan yang tiada unsur kroni,” katanya.
Beliau berkata, satu mekanisma terbaik perlu dibuat bagi mengatasi golongan miskin tegar ini dan bagi meneruskan kehidupan mereka sebagai rakyat yang dinaungi oleh sebuah kerajaan yang berteraskan kebajikan rakyat yang diutamakan dan didahulukan sepertimana tuntutan al-Quran.SH
No comments:
Post a Comment