Monday, June 6, 2011

Nong Chik tunjuk kuasa




KUALA LUMPUR 6 JUN : Penduduk Ladang Bukit Jalil (LBJ) berang dan kecewa dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis yang sekali lagi menceroboh dan merobohkan papan tanda serta menggertak penduduk di kawawan berkenaan.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Ladang Bukit Jalil, Balakrishnan Kunjoo Nair sepasukan lebih 50 pegawai DBKL dan polis muncul di jalan masuk ladang kira-kira jam 10 pagi dan terus memecahkan papan tanda dan poster walaupun Mahkamah Rayuan telah memberikan injuksi kepada DBKL untuk menunggu sehingga keputusan pada Oktober.

Menurut Bala, apabila dibantah penduduk seorang pegawai DBKL bernama Abdullah menyatakan apa yang dilakukan mereka adalah arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

"Bila mereka datang, ambil banner dan papan tanda, penduduk datang dan tanya mengapa. Dia kata menteri bagi arahan. Saya bawa surat mahkamah dan tanya bagaimana anda boleh ingkar arahan mahkamah? Kalau menteri BN tidak boleh ikut arahan mahkamah, menteri apa macam itu" soalnya pada satu sidang media tergempar diadakan di Ladang Bukit Jalil hari ini.

Ini merupakan kejadian kedua pencerobohan oleh DBKL sejak 26 Mei lalu.

Penduduk Ladang bukit Jalil memohon 4 ekar tanah ladang asal sebagai hak kerana keluarga mereka telah berada di situ sejak sebelum merdeka lagi.

Malah satu memorandum telah dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri untuk masuk campur dalam perkara ini pada April lepas.

Pengasas NGO jaringan rakyat tertindas (JERIT) S. Arutchelvan menyatakan tindakan demikian merupakan bukti betapa kerajaan Barisan Nasional tidak menghormati perintah Mahkamah tersebut.

"Injuksi ini adalah antara dua pihak. DBKL dan penduduk Ladang Bukit Jalil, isu ini masih dibicarakan di mahkamah. Kami menganggap ini, satunya adalah pencerobohan dan satu lagi merupakan pencabulan undang-undang dan penghinaan kepada mahkamah.

"Kita telah adukan masalah ini kepada Jabatan Perdana Menteri tapi sehingga kini tiada tindakan. Tapi tindakan DBKL hari ini buktikan di manakah posisi Perdana Menteri dalam hal ini," tegas Arutchelvan yang juga ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Lebih malang lagi, tindakan kasar DBKL dan polis kali ini dilihat oleh sekumpulan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan yang kebetulan melakukan kerja sosial di Ladang tersebut ketika itu.

Wakil Persatuan Pelajar India Malaysia (Misa) Gobi Krishnan menyifatkan hal itu sebagai memalukan BN.

"Kami pelajar, neutral dan tidak berpihak dalam politik, tapi bila lihat mereka begini beri persepsi buruk terhadap kerajaan DBKL dan Polis," tegas beliau.

Seorang lagi pelajar G. Vinothen mengakui gentar melihat tindakan agensi kerajaan yang sepatutnya memberi khidmat kepada rakyat itu.

"Kami rasa amat bimbang dan takut. Kami belajar di universiti dan sekolah untuk menghormati undang-undang. Tapi bila mereka (DBKL dan Polis) tidak melakukannya bagaimana masa depan rakyat di negara ini," ujar beliau yang bersama 35 pelajar dalam program kemasyarakatan itu.

No comments: