Wednesday, June 29, 2011

PM, TPM hidup mewah sementara rakyat hidup terbeban


SHAH ALAM 29 JUN : Pemuda Pas Wilayah kesal atas tindakan kerajaan membelanjakan hampir RM10 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalannya.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Wilayah, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz mempersoalkan tindakan kerajaan membelanjakan jutaan ringgit setahun semata-mata untuk kos kediaman pemimpin negara, dalam keadaan beban sara hidup yang ditanggung rakyat.

“Dalam keadaan bebanan kos sara yang hidup yang meningkat, dengan kenaikan harga minyak petrol, kenaikan kadar tarif eletrik, kenaikan harga barang-barang keperluan, Perdana Menteri dan Timbalannya pula sanggup hidup bermewahan dengan duit rakyat,”.

“Dalam keadaan demikian, patutkah kerajaan menarik balik subsidi yang sepatutnya dimiliki rakyat sedangkan kehidupan pemimpin negara dalam keadaan serba selesa,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Suhaimi mengulas jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung soalan yang diajukan oleh ahli parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, yang juga ketua Dewan Muslimat PAS bahawa pihaknya ingin tahu penyelenggaran kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya.

Mengikut jawapan bertulis, RM49 juta dibelanjakan antara tahun 2006 hingga 2010 bagi penyelenggaran kediaman kedua-dua pemimpin negara itu.

Menurut jawapan itu, hampir RM33 juta dibelanjakan untuk menyewa kediaman lain semasa tempoh itu. Sewa dibayar kepada Perbadanan Putrajaya.

Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.
Jika jumlah itu dibahagikan sepanjang lima tahun dan dikira mengikut bulan, kerajaan membelanjakan RM160,000 untuk bil elektrik dan RM33,000 untuk bil air bagi kedua-dua kediaman rasmi.

Menurut Suhaimi, jumlah RM 49 juta jika diagihkan untuk pendidikan rakyat, mampu memberi biasiswa percuma kepada ribuan mahasiswa setiap tahun.

“Bagaimanakah negara dapat melahirkan rakyat yang bertaqwa, berdisiplin, berhemah, berjimat dan mengutamakan kepentingan negara melebihi diri mereka sendiri jika pemimpin negara sendiri hidup dengan mementingkan kepentingan diri mereka sendiri berbanding kepentingan rakyat,” tegasnya.

Justeru beliau meminta kerajaan mengkaji semula kos perbelanjaan kediaman Perdana Menteri dan Timbalannya.

“Tidak semestinya kena banyak belanja jika inginkan keselesaan buat pemimpin negara. Banyak lagi keperluan mendesak untuk negara diperlukan dengan nilai sebanyak itu,” jelas beliau.

No comments: