Sunday, June 26, 2011

SPR hanya pengadil, bukan pemain


SHAH ALAM 26 JUN : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya menjadi pengadil yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam sesebuah pilihan raya bagi memastikan keputusan yang dicapai berdasarkan keputusan yang dimahukan rakyat.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebagai sebuah agensi kerajaan, SPR seharusnya memainkan peranan sebagai sebuah badan bebas yang menguruskan proses pilihan raya di negara ini demi mencorakkan sistem demokrasi di negara ini.

“ Pengadil tidak dilihat memihak kepada sesiapa. Pengadil adalah pengadil. Pengadil yang baik tidak dilihat berat sebelah,” katanya kepada wartawan dalam sidang media selepas majlis dialog yang diadakan sempena Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2011 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Malah menurut Khalid, kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri tidak mencerminkan bahawa pilihan raya di negara ini telah dijalankan dengan adil.

Jelasnya, kemenangan dan kekalahan sepatutnya ditentukan oleh rakyat dan pilihan raya dan bukannya dicemari dengan penipuan seperti kehadiran pengundi hantu.

“Apa yang kita katakan wujud ketidakadilan (ialah), jika diperhatikan dengan pilihan raya yang dipraktikkan di Indonesia berbanding di Malaysia juga pilihan raya di India berbanding di Malaysia, anda tahu ia tidak (adil).

“Kerana menang, itu menjadi adil... itu tanggapan yang tidak bagus. Ia juga tidak bagus kepada Barisan Nasional kalau (ditakdirkan) Pakatan Rakyat menang dan menggunakan pendekatan sama seperti Barisan Nasional, mereka (juga) akan melancarkan Bersih,” katanya.

Beliau berkata, perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai depan tidak akan diadakan jika benar pilihan raya di negara ini dikendalikan dengan adil dan saksama oleh SPR.

Tegasnya, pihak berkuasa harus menyedari perkara ini dan tidak menuding jari menyalahkan pihak tertentu seperti kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan melabelkan mereka sebagai dalang terhadap perhimpunan tersebut kerana ia adalah perhimpunan aman yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bebas dari pengaruh politik.

Katanya, perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini juga adalah atas kehendak dan kesedaran masyarakat di negara ini yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya yang dijalankan di negara ini.

“Bersih ingin mengadakan satu perhimpunan untuk menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong untuk supaya kita perbaiki lagi usaha menguruskan pilihan raya di Malaysia.

“Kerajaan negeri tidak terlibat dalam perkara ini. Bersih ialah satu pertubuhan bebas yang kita memandang usaha ini sangat perlu diberikan sokongan dan perhatian kerana mereka membuat sesuatu yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya, demokrasi tidak boleh dijalankan tanpa keadilan dan semua pihak perlu memiliki kepercayaan itu.

Berhubung 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar yang dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk perintah tahanan reman dan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah memerangi Agong, Khalid turut melahirkan rasa simpati beliau.

Malah beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengenalpasti perkara tersebut sebelum mengambil tindakan.

No comments: