Monday, June 27, 2011

UMNO salah guna kuasa


KUALA LUMPUR 28 JUN: Alasan mengaitkan 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan usaha menghidupkan fahaman komunis mengingatkan masyarakat kepada Ops Lalang pada tahun 1987, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, kerajaan yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pada ketika itu cuba memerangkap kepimpinan pembangkang dengan tuduhan yang sama.

Walhal jelas beliau, situasi tegang yang wujud pada waktu itu dipercayai berpunca daripada isu perkauman yang timbulkan oleh Umno sendiri membabitkan Datuk Seri Najib Razak selaku Ketua Pemuda dan Tan Sri Lee Kim Sai dari MCA.

"Laporan kertas putih pada Operasi Lalang mengaitkan kami yang ditahan di bawah ISA itu dengan komunis," kata beliau pada sidang media di parlimen, semalam.

Sehubungan dengan itu, Mahfuz tidak menolak kemungkinan kerajaan Umno-BN sekali lagi akan menyalahgunakan kuasa bagi membendung kemaraan rakyat menjelang perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal berlangsung pada 9 Julai depan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin kelmarin untuk tidak teragak-agak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kesemua aktivis PSM yang ditahan atas dakwaan cuba menghidupkan semula fahaman komunis.

Tambah Mahfuz kenyataan Hishammuddin itu bercanggah dengan pendirian kerajaan sebelum ini yang telah memberi keampunan kepada beberapa pemimpin Parti Komunis Malaya malah menganugerahkan mereka sejumlah ekar tanah.

"Sedangkan semua orang ini telah pun melalui proses perdamaian antara kerajaan dengan pihak komunis Malaya beberapa tahun yang dahulu. Malah kerajaan sendiri telah menganugerah sebahagian besar daripada mereka ini dengan sejumlah keluasan tanah dan sebagainya," katanya.

"Jadi sekarang ini tindakan polis sangat bertentangan dengan pendirian kerajaan. Jadi saya tidak tahu samada Hishammuddin sedar atau tidak tindakan polis ini bertentangan dengan keputusan kerajaan," ujarnya lagi.

Mahfuz sebelum itu mengulas tindakan pihak polis menangkap aktivis-aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr. Micheal Jayakumar di plaza Tol Sungai Dua ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis berkaitan Bersih 2.0 di Pulau Pinang, Ahad lalu.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana dikatakan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong.

No comments: