9 Julai 2011 membuka satu lembaran baru dalam proses pendewasaaan demokrasi di Malaysia. Puluhan ribu rakyat Malaysia melepasi segala rintangan sekatan polis dan ugutan kekerasan untuk berhimpun dan berarak demi satu matlamat bersama - sistem pilihanraya yang BERSIH.
Apa yang lebih signifikan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 kali ini ialah ia bukan sahaja berlangsung di Kuala Lumpur malah di berpuluh bandaraya di seluruh dunia di mana rakyat Malaysia menetap.
Pada hari tersebut, yang keluar berarak atau berhimpun tidak melihat dirinya sebagai orang Melayu, India, Dayak, Kadazan atau Cina tetapi sebagai rakyat Malaysia yang mahu memastikan kesuburan sistem demokrasi terjamin untuk generasi yang akan datang.
Mereka yang dipancut air dari truk FRU mahupun terkena gas pemedih mata akan menceritakan kepada anak dan cucu mereka dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang bahawa "saya berada di sana!" dengan rasa penuh kebanggaan.
Namun, pada hemat saya, kejayaan terbesar pada 9 Julai ialah ia telah menghapuskan satu stigma lama di kalangan masyarakat Cina Malaysia iaitu demonstrasi dalam apa bentuk sekali pun, akan membawa kepada rusuhan kaum dan keadaan huru-hara.
Stigma ini sudah lama tertanam dalam minda masyarakat Cina Malaysia hasil daripada propaganda berterusan dari UMNO dan MCA bahawa masyarakat Cina akan menjadi mangsa paling teruk dalam keadaan rusuhan kaum.
Kedai-kedai milik orang Cina akan dibakar, orang Cina akan diserang dan dibelasah teruk dan akhirnya masyarakat Cina tidak dapat hidup dalam keadaan aman, kata mereka.
Apabila keadaan politik tidak stabil, maka ekonomi negara akan terjejas dan ini tentulah akan menjejaskan kepentingan ekonomi masyarakat Cina yang banyak terlibat dalam sektor perniagaan.
Ini merupakan skrip lama daripada Unit Penerangan UMNO sejak berlakunya peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 dan disokong sepenuhnya oleh budak suruhan mereka, MCA.
Sudah tentu MCA menyokong skrip tersebut kerana ia telah berjaya memastikan BN terus berkuasa di Malaysia semenjak 1969 lagi dan mereka bolehlah mendapat sedekah daripada UMNO dalam bentuk jawatan-jawatan kerajaan.
Ingat, skrip inilah yang memenangkan BN dan Mahathir pada pilihanraya umum 1999 di ambang kebangkitan penentangan pengundi Melayu terhadap UMNO.
Mereka ingat skrip ini masih laku pada tahun 2011 dan mereka telah mengupah "kontraktor" baru yang bernama PERKASA untuk melaksanakan kerja-kerja ini.
Masih ingat apa yang dikatakan oleh Ibrahim Ali beberapa minggu lepas? Beliau "menasihatkan" orang Cina yang duduk di KL supaya membeli lebih banyak stok makanan dan beras sebelum 9 Julai dan sembunyilah di rumah pada hari tersebut kerana akan berlaku pertembungan di antara dua kumpulan orang Melayu dan huru-hara akan tercetus.
9 Julai datang dan lalu. Perarakan dan perhimpunan telah dijalankan secara aman. Yang menyebabkan rakyat yang berhimpun secara aman lari lintang-pukang ialah apabila FRU memancut air dan menembak gas pemedih mata dengan sewenang-wenangnya.
Tidak ada dua kumpulan yang bertembung seperti yang digembar-gemburkan oleh PERKASA. Yang ada, hanya sekumpulan kecil dalam lingkungan 300 orang yang menamakan diri mereka sebagai "Patriot" yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO. Tak apa, itu hak mereka berhimpun.
Perarakan dan perhimpunan tersebut berlangsung di beberapa kawasan yang sinonim dengan masyarakat Cina di Kuala Lumpur. Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu, Jalan Petaling adalah kawasan yang padat dengan kedai-kedai peniaga Cina.
Perarakan melalui kedai-kedai tersebut dan kaki lima menjadi tempat perlindungan kepada mangsa gas pemedih mata.
Adakah kedengaran mana-mana kedai di kawasan tersebut musnah teruk akibat "keganasan" oleh para demonstran? Jawapannya TIDAK! Tak ada satu kedai pun yang dilaporkan mengalami kerosakan teruk.
Malah saya berani mengatakan tong sampah pun tak ada yang rosak. Ada pula demonstran yang membersihkan jalan selepas perarakan, atas semangat dan sifat "BERSIH".
Ini satu aspek yang membuktikan kematangan pemikiran rakyat Malaysia. Para demonstran yang berarak hari itu tahu mengapa mereka berada di sana, Ia adalah kerana satu tuntutan yang sah untuk menikmati sistem pilihanraya yang adil dan bersih.
Mereka ingin membuktikan bahawa "tunjuk perasaan" merupakan satu manifestasi kebangkitan kesedaran hak politik rakyat secara aman. 9 Julai berjaya menghilangkan kebimbangan para peniaga terhadap demonstrasi jalanan.
Malah, yang membuka perniagaan mereka seperti biasa pada hari tersebut mendapat "durian runtuh" disebabkan pelanggan yang ramai.
Kalau rakan saya, Ng YenYen mengatakan sektor pelancongan kehilangan RM100 juta pada hari tersebut, maka beliau patut menyalahkan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke Kuala Lumpur pada hari tersebut sehingga ratusan ribu lagi "pelancong" dari seluruh negara tak dapat sampai ke ibu kota.
Dalam aspek yang lain pula, 9 Julai menampakkan penglibatan yang ramai dari pemuda-pemudi kaum Cina. Ini satu fenomena yang luar biasa dan cukup menarik.
Saya tahu ada yang mengambil cuti dan menaiki bas dari Johor Bahru untuk datang berhimpun.
Ada yang telah menulis "surat kepada editor" untuk menceritakan pengalaman mereka pada hari tersebut dan berasa selamat berarak bersama-sama dengan ahli-ahli PAS.
Fenomena inilah yang tidak dapat difahami oleh MCA. Mereka masih menggunakan skrip dan pendekatan generasi "radio dan televisyen hitam putih" era-1969 ke atas generasi "Facebook dan Twitter" era-2011!
Pendek kata, mereka telah ketinggalan zaman dalam memahami perubahan sosio-politik masyarakat Malaysia dan pemikiran anak muda. Tak apalah, biarlah Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai terus tidur dalam buaian!
Utusan Malaysia dan propagandis UMNO ingin menyembunyikan fakta bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum. Mereka terus memainkan perang psikologi dan mendakwa kononnya PAS telah diperalatkan oleh DAP.
Mereka cuba menggambarkan bahawa yang ditangkap dan terhidu gas pemedih mata hanya orang PAS. DAP dan yang lain hanya memainkan "remote control" untuk memperkudakan ahli-ahli PAS. Ini satu permainan politik yang cukup kotor dan menjijikkan.
Faktanya, DAP memberikan sokongan penuh kepada perhimpunan BERSIH 2.0 malah kepimpinan DAP mengetuai satu kumpulan perarakan seramai 3,000 orang yang berarak dari Pudu Plaza dan bercantum dengan kumpulan lain yang diketuai oleh Hatta Ramli di Puduraya.
Lim Kit Siang dan saya pula menyertai kumpulan di Plaza Sentral yang sama-sama diserang gas pemedih mata di terowong Plaza Sentral dengan Tok Guru Hadi Awang, Anwar Ibrahim sekeluarga, Ambiga dan kepimpinan PR dan BERSIH yang lain yang dilarang memasuki Kuala Lumpur oleh pihak polis.
Sebagai seorang pemimpin DAP, saya berasa amat terharu dan berterima kasih kepada pimpinan PAS atas semangat setiakawan dan keprihatinan mereka terhadap kumpulan perarakan kami di Pudu Plaza.
Pada malam 8 Julai, saya dan Vincent Wu (Penolong Setiausaha Organisasi Pusat DAP) telah dipanggil untuk perbincangan mengenai isu keselamatan di Pejabat Agung PAS bersama dengan Salahuddin Ayub, Hatta Ramli, Dzukefly Ahmad dan Kamarulzaman dari Pemuda PAS. Tian Chua juga berada dalam perbincangan tersebut.
Salahuddin Ayub menyatakan kebimbangan beliau kepada saya bahawa kemungkinan ada anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang akan sabotaj perarakan kami dari Pudu Plaza dan menjadikannya sebagai satu rusuhan kaum.
Justeru, beliau menjanjikan bahawa PAS akan memobilisasi 200 anggota Unit Amal untuk berarak dengan kumpulan kami dari Pudu Plaza. Hakikatnya, perarakan dari Pudu Plaza berjaya sampai ke Puduraya tanpa sebarang kekacauan dan provokasi.
Dalam hal ini, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada PAS khususnya kepada anggota-anggota Unit Amal yang bersama kumpulan kami pada hari tersebut.
Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai telah melakarkan satu wadah baru dalam lanskap sosio politik Malaysia. Sekiranya rakyat berbilang kaum boleh berarak dan berhimpun bersama-sama untuk satu tujuan dan matlamat yang diidami, maka tidak ada alasan mengapa kepimpinan pelbagai kaum dalam Pakatan Rakyat tidak boleh terus mara memimpin agenda perubahan untuk Malaysia dan mengembumikan Barisan Nasional dalam PRU ke-13 nanti.
Baca: Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS
Baca: Kisah 709 seorang paderi: Air mata saya mengalir demi tanahair ini
*Loke Siew Fook (gambar kanan) ialah Ketua DAPSY merangkap Ahli Parlimen Rasah.
1 comment:
Allah, walaupun Cina dan India berlainan agama, tapi saya berasa bangga kerana BERSIH dapat menyatukan 3 kaum terbesar pada 9 Julai lalu.
Ada seorang ustaz dulunya ulama' PAS dan sekarang telah menyertai UMNO, berkata bahawa PAS ini kafir kerana berkawan dengan DAP. Kalu gitu korang ape cite berkawan dengan MAC? Duk sibuk kata AHZAB. AHZAB..
Sedangkan RasuluLLAH berkawan dengan kaum quraisy yang tak memeluk islam. ada komen tak orang UMNO?
"wa'tasimu biLLAH wa la tafarroqu"..duk bawa ayat tu ke mana2 (ustaz UMNO tdi). Ayat tu menyuruh kita berpegang dengan tali Allah, habis tu kalu masuk UMNO ni memang betul2 berpegang dengan tali Allah ke?
pikir la puak UMNO...!!!
Post a Comment