Friday, July 15, 2011

PAS fail saman polis, Hishamuddin petang ini

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhnJPxKiX43hUcmprdKIMF19qixFYTLAPUlRnE-XuGhVw3KaWyZCoxlh72aN8DCvd2TyTNjEAivqqWQKSYNyzJh56jhprP9CSDr7rb_ez0jQ5JRsjg2W7zzA3U6LF68T70y25DR5cz4dm2x/s320/Bersih-BAJU27.jpgKUALA LUMPUR, 15 JULAI: PAS akan memfailkan kes saman sivil ke atas Menteri Dalam Negeri yang bersangkut-paut dengan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di Mahkamah Shah Alam petang ini.

Portal The Malaysian Insider memetik, Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Selangor Zainal Said sebagai berkata, saman itu dibuat kerana pihak berkuasa telah menahan seorang ahli parti Islam itu, tindakan yang disifatkan sebagai tidak mengikut undang-undang.

Musafri Abdullah Azmi, 27, telah ditahan pada 24 Jun lalu kerana memiliki kemeja-T yang tertulis perkataan Bersih 2.0 di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan, Padang Jawa di Klang.

“Petang ini kita mewakili seorang ahli kita yang ditahan kerana memilik baju Bersih 2.0, dia telah ditahan secara salah.

“Saman sivil ini dibuat kerana kita mahu tuntut ganti rugi dan mahu barang-barang yang dirampas dikembalikan semula kepada ahli kita,” kata Zainal.

Kata Zainal, pihaknya menamakan pegawai penangkap, Ketua Polis Shah Alam ACP Zahedi Ayob dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai defendan.

Tindakan petang ini merupakan yang pertama dalam siri saman yang hendak dibawa oleh PAS, kata Setiausaha Lajnah Undang-undang parti itu, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus ketika dihubungi portal berkenaan.

“Kami memutuskan untuk memfailkan kes di Selangor hari ini sebab kes pertama penahanan berlaku di Selangor, selepas Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan bahawa bahan-bahan berkaitan Bersih 2.0 adalah haram,” kata beliau.

“Kes yang dibawa hari ini berkaitan dengan tahanan praperhimpunan Bersih, selepas ini akan ada banyak lagi kes,” kata beliau lagi.

Semalam, Juham Dewan Pemuda PAS pusat telah melancarkan kempen Aduan Keganasan Polis 9/7 yang bertujuan untuk mengumpul segala maklumat daripada orang awam berkaitan salah laku dan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 di sekitar Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengarah Juham Dewan Pemuda PAS pusat Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata melalui saman sivil itu pihaknya mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa segala bentuk penahanan dan rampasan dilakukan pihak berkuasa dalam isu Bersih 2.0 bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita nak mahkamah beri satu deklarasi bahawa penahanan ahli kita ini salah di sisi undang-undang sebab tiada undang-undang kata memakai baju itu salah, yang salah tidak pakai baju.

“Kita juga mahu mahkamah beri satu deklarasi bahawa segala yang dirampas dipulangkan dan rampasan yang dibuat itu adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta perlembagaan,” katanya.

No comments: