KUALA LUMPUR, 22 Julai: Peguam hak asasi manusia Perancis yang mengendali kes dakwaan rasuah yang melibatkan pembelian kapal selam Scorpene, William Bourdon (gambar) telah ditangkap oleh Imigresen Malaysia.
Beliau ditangkap ketika berada di atas kapal terbang apabila sekumpulan pegawai Imigresen naik ke atas kapal terbang itu.
William Bourdon, dijangka akan menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam tadi di Pulau Pinang.
Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di malam ini di Dewan Sivik MPPJ. Peguam S Sivarasa menerima maklumat tangkapan itu melalui telefonnya semasa menyertai program Perception di pejabat Harakahdaily dan bergegas keluar untuk mengendalikan urusan itu. Menurut aktivis Suaram, Cynthia Gabriel dalam twitternya, beberapa pegawai Imigresen naik ke atas kapal terbang yang beliau dan Bourdon naiki dan menangkapnya sebaik sahaja kapal terbang itu mendarat. Kedua-dua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Pulau Pinang.
Mengikut jadualnya, Bourdon memberikan ucapan di majlis pengutipan dana untuk mengendalikan kes siasatan terhadap pembelian Scorpean di mahkamah Perancis malam tadi di Pulau Pinang.
Beliau sepatutnya memberikan ucapan untuk majlis yang sama di Dewan Sivik MPPJ malam ini bersama Mohamad Sabu, Nurul Izzah Anwar dan juga Tony Pua.
Malam esok pula, Bourdon dijangka ke Ipoh untuk menyertai satu forum di sana.
Dalam laporan Harakahdaily sebelum ini, pegawai Suaram berkata, Bourdon telah mendapat visa untuk datang ke Malaysia. |
No comments:
Post a Comment