Monday, July 11, 2011

Salah tangkap : Dua Naib Presiden buat laporan polis


KUALA LUMPUR 11 JULAI : Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa mereka telah 'disalah tangkap' sewaktu perarakan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Mahfuz berkata, tindakan itu telah merosakkan reputasi mereka dan menyebabkan ketegangan dan trauma emosi kepada keluarga mereka yang tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas mereka.

Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata polis telah menahannya di KL Sentral kerana didakwa melanggar perintah sekatan yang dikeluarkan pada 7 Julai ke atas 91 individu, termasuk Salahuddin dan dirinya.

Kedua-dua mereka ditahan di pintu masuk ke terminal transit di situ.

“Kami melihat ini tahanan yang tidak sah, dari sudut perundangan dan bercanggah dengan perintah mahkamah.

“Dan, sebagaimana telah kami katakan tindakan (menahan kami) bertentangan dengan undang-undang dan malangnya apabila kami ditahan, polis hanya mengatakan sama ada kami sedar adanya perintah mahkamah melarang kami memasuki Kuala Lumpur, seolah-olah kami ditahan kerana bertindak bertentangan dengan perintah mahkamah,” kata Mahfuz selepas membuat aduan di ibu pejabat polis daerah Brickfields di Sri Petaling hari ini.

Menurut larangan yang ditandatangani oleh seorang majistret di Kuala Lumpur minggu lalu, 91 orang dihalang berada di Jalan Syed Putra, Jalan Istana, Jalan Bukit Petaling, Jalan Bellamy dan kawasan sekitar Istana Negara.

Mereka juga dihalang berada di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Lembah Perdana, Jalan Cenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara.

Polis telah menyenaraikan Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pusat membeli-belah Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Haji Taib, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Loke, Jalan Sultan Mahmud, sebagai kawasan 91 individu berkenaan dilarang masuk.

Katanya, mereka berada di sidang akhbar di Hotel Hilton di depan KL Sentral, dan selepas sidang akhbar itu, mereka berjalan dari lobi hotel ke KL Sentral di mana seorang anggota memberhentikannya dan bertanya sama ada dia tahu yang dia dilarang masuk ke Kuala Lumpur.

Mahfuz berkata, beliau menjawab yang mereka tidak dilarang dari kawasan KL Sentral dan tidak melakukan sebarang jenayah dengan berada di situ.

Mahfuz dan Salahuddin adalah antara 1,667 yang ditahan semasa perarakan Bersih 2.0 bagi menuntut pembaharuan pilihan raya.

No comments: