Thursday, July 14, 2011

Tuduhan terhadap PSM adalah konspirasi polis

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2011/06/psm.jpgKUALA LUMPUR 14 JULAI : Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mendedahkan konspirasi terbaru Polis Diraja Malaysia (PDRM) memangsakan mereka setelah pelbagai tuduhan termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, semata-mata untuk menghilangkan kredibiliti himpunan Bersih.

Menurut Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan, polis kini cuba untuk menggambarkan PSM sebagai organisasi militan yang cuba menggulingkan kerajaan dengan revolusi demonstrasi jalanan serta menegakkan ideologi komunis sedangkan hakikat ia bukanlah seperti yang dinyatakan.

Namun tuduhan itu dilemparkan untuk menjustifikasikan tindakan mengenakan Ordinan Darurat (EO) terhadap enam orang ahlinya termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar.

"Ini adalah (cerita) rekaan-rekaan yag cuba dicipta polis. Ini konspirasi pertama yang polis buat terhadap PSM. Kita dedahkan hal ini kerana PSM adalah parti yang terbuka, kami tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan," kata beliau pada satu sidang media di ibu negara.

Pada 25 Jun lalu, 31 aktivis PSM di Kepala Batas ditahan di bawah seksyen 122 kerana dikatakan mahu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan enam daripadanya ditangkap semula pada 2 Julai di bawah Ordinan Darurat.

Mereka ialah Dr Jeyakumar, Timbalan Presiden PSM, M. Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat PSM, Choo Chon Kai dan M. Sugumaran, Setiausaha PSM Bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan Ketua Pemuda Nasional PSM, R. Sarathbabu.

Arutchelvan menyatakan bahawa tiada seorang pun yang ditangkap di Kepala Batas itu dituduh di bawah Seksyen 122 kerana memerangi Yang di-Pertuan Agong.

24 yang lain kemudiannya dituduh di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menyokong dan mempromosi pertubuhan haram.

Artuchelvan menyatakan PSM disalahertikan dan dituduh cuba menggulingkan kerajaan kerana risalah parti itu menyatakan sokongan mereka terhadap rakyat seluruh dunia yang berhimpun di jalanan secara aman bagi melakukan perubahan.

"Kami menegaskan di sini bahawa PSM menyokong gerakan aman yang menuntut perubahan. Kita ada masalah, kalau tentera ambil alih kuasa guna senjata. Kita ada masalah kalau orang gunakan senjata untuk menggulingkan (kerajaan) atau cara yang tidak demokratik," tegasnya.

Artuchelvan turut menyatakan berdasarkan temuramah dan maklumat dari perjumpaan terhad bersama tahanan, mereka yang dibebaskan, peguam dan kaum keluarga, jelas menunjukkan konspirasi ini berlaku walaupun himpunan Bersih telah berlalu.

Justeru, beliau dan Presiden PSM Dr Nasir Hashim bersedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammudin Tun Hussein, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi menghentikan fitnah dan cerita penipuan terhadap mereka.

"Tujuan kita buat pendedahan ini ialah untuk beritahu polis supaya menghentikan penipuan-penipuan ini. Kamu (polis) tangkap orang nak takutkan tentang Bersih 2.0. Sekarang kamu nak 'cantikkan' cerita itu.

"Semua ini berniat jahat dan malafide. Kepimpinan PSM, saya sebagai Setiausaha Agung dan Dr Nasir (Presiden) akan menulis surat meminta berjumpa dengan KPN dan Menteri Dalam Negeri. Kami sedia disiasat, tidak ada apa yang kami sembunyikan.Ini untuk mengakhiri semua 'wayang' ini," kata beliau.

No comments: