Friday, August 5, 2011

Bersih 2.0 : SUHAKAM akan soal siasat polis



KUALA LUMPUR 5 OGOS : Panel Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan menemubual anggota polis yang terlibat dalam himpunan aman Bersih 2.0 yang berlangsung pada 9 Julai lalu.

Pesuruhjaya SUHAKAM, James Nayagam mendedahkan hal ini ketika menerima penyerahan aduan mengenai tindakaan Polis pada himpunan tersebut dan berjanji bahawa panel ini akan bertindak tanpa berpihak dan adil.

"Panel inkuiri kita akan melihat untuk menemubual semua polis yang bertugas ketika hari itu.

"Panel kita bebas dan kita akan siasat segenap aspek dalam hal ini," kata beliau ketika menerima testimoni dan keterangan mengenai keganasan polis hari ini.

Panel Inkuiri Awam Suhakam ini dianggotai Naib Pengerusi, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan akan dibantu Professor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan peguam Detta Samen.

Mereka dijangka akan memulakan temubual itu selepas Ramadhan ini.

Wakil Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menyampaikan 17 video, 15 testimoni dari orang ramai serta 17 lagi testimoni spesifik mengenai kejadian di Hospital Tung Shin.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menyatakan keperluan untuk Suhakan menyiasat tindakan polis bukan sahaja pada hari tersebut, tetapi sebelum dan selepas himpunan itu.

"Sekurang-kurangnya lima Kementerian mengutuk dan menuduh bahawa Bersih menyebabkan keganasan dan sebagainya.

"Media arus Perdana turut memainkan cerita bahawa kami merupakan organissi yang ditaja oleh Kristian, Yahudi dab sebagainya," kata Maria.

Beliau turut memberi contoh mengenai acara berkaitan Bersih 2.0 seperti 'road show' dan termasuk penahanan ahli PSM berkaitan Bersih serta pengharaman 91 individu dari ke pusat bandar pada 9 Julai sebagai usaha dan tindakan berlebihan.

Selain Maria, mereka yang turut hadir ialah Pengerusi Tenaganita Irene Fernandez, wakil Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri selain Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Tian Chua menceritakan kisah mengenai tembakan polis ke arah terowong di KL Sentral yang mengakibatkan kecederaan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Khalid Samad.

Pengawal Peribadi Anwar Fayadh Afique Albaqri turut mendapat kecederaan parah kerana melindungi Ketua Pembangkang itu dari kanister gas pemedih mata yang didakwa dihalakan tepat kepada peserta himpunan oleh polis.

Peguam Fayadh, Fadiah menyatakan tindakan menembak kanister terus ke arah orang ramai boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

"Beliau (Fayyadh) lihat polis mengacukan senjata ke arah Anwar, lalu Fayadh menarik Anwar ke tepi..tulang pipi beliau pecah dan rahangnya senget.

"Polis yang menebual doktor yang merawat Fayadh turut terkejut dengan kecederaan yang dialamai beliau," terang Fadiah sambil menambah kanister Fayyadh masih berehat memulihkan kecederaannya.

Seorang lagi demonstran, Brian Yap pula menceritakan mengenai peristiwa beliau ditangkap dengan ganas oleh Polis di perkarangan Hospital Tung Shin.

No comments: