Monday, August 8, 2011

SPR perlu bertindak, siasat segera keraguan daftar pemilih-Mafrel



SHAH ALAM 9 OGOS : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak proaktif dengan bertindak segera terhadap pendedahan-pendedahan yang dibuat oleh pihak tertentu berhubung senarai daftar pemilih yang meragukan.

Oleh itu menurut Pengerusi Malaysian For Free and Fair Elections ( MAFREL) Syed Ibrahim Syed Noh, satu laporan rasmi harus dibuat oleh pihak terbabit bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru apabila SPR mendaftarkan seorang yang bernama 'Kg Baru' sebagai pemilih.

Kg Baru didaftarkan sebagai pengundi bagi Dewan Undangan Negeri Hulu Besut dan Parlimen Besut, Terengganu.

Namun apabila semakan dibuat di laman web Jabatan Pendaftaran Negera (JPN), nombor kad pengenalan sama adalah milik Noraini Binti Abdullah.

“Pada saya mudah sahaja, saya rasa pendedahan-pendedahan begini perlu dibuat laporan secara rasmi dan kemudian pihak SPR perlu ambil tindakan,"katanya kepada Tv Selangor.

Menurut Syed Ibrahim lagi, sesebuah suruhanjaya perlu memandang berat isu ini memandangkan ia melibatkan kredibiliti badan itu.

“Sebenarnya SPR sendiripun boleh membuat kajian mereka kalau dah ada satu dua aduan.Maknya berdasarkan kepada satu dua aduan, mereka kena membuat siasatan serius,"ulas beliau lagi.

Masalah seperti ini juga katanya, jika tidak ditangani dengan baik oleh SPR membolehkan ahli-ahli parlimen membawa perkara ini ke Dewan Rakyat bagi menolak daftar pemilih itu.

“ Dari segi undang-undangpun, ada ruang di mana pihak ahli-ahli parlimen boleh timbulkan untuk menyebut bahawa dengan keraguan-keraguan yang timbul berhubung dengan daftar pengundi, malah pilihan raya sendiripun tidak boleh diadakan," kata beliau.

“Kalau SPR tidak ambil secara serius, saya rasa itu satu keangkuhan dan sepatutnya mereka lebh bersikap 'gentleman' dan berbesar hati menerima aduan-aduan ini dan terus membuat semakan,"katanya lagi.

Semalam, Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan isu 'penaiktarafan' status penduduk tetap (PR) kepada warganegara dalam tempoh sehari seorang individu bernama Mismah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berjanji akan memanjangkan perkara itu ke pengetahuan Perdana Menteri pada majlis berbuka puasa semalam.

No comments: