Wednesday, September 7, 2011

Duit zakat bina menara 15 tingkat,, malanglah nasib orang fakir dan miskin

SEREMBAN, 7 Sept: Di tengah-tengah masyarakat membincangkan peranan institusi zakat dalam membantu umat Islam yang memerlukan bantuan untuk hidup, tindakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) mahu membina menara 15 tingkat sudah tentu mendapat bantahan.

PAS Negeri Sembilan akan menggerakkan jenteranya untuk membantah tindakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mainn) yang bercadang untuk membina menara 15 tingkat kerana ia bukan keperluan umat Islam sekarang.

"Umat Islam di negeri ini sekarang memerlukan bantuan Mains untuk membebaskan golongan asnaf penerima zakat dan bukannya menara yang tinggi," kata Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani (gambar) kepada Harakahdaily.

Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Kamal Amran Kamarudin mengumumkan Mains akan membina sebuah menara 15 tingkat yang akan dikenali sebagai sebagai Kompleks Mains bertujuan akan memusatkan pengurusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Negeri Sembilan di bawah satu bumbung.

Bagi Taufek, golongan asnaf (orang yang layak menerima zakat) sangat memerlukan bantuan dari Mains untuk menerukan kehidupan mereka.

Menurut Taufek, beliau pernah membawa isu ini di DUN Negeri Sembilan namun Menteri Besar menjelaskan, wang yang akan digunakan bukan wanag zakat tetapi wang keuntungan dari projek yang dibuat oleh Mains.

"Namun bagi saya, wang Mains semuanya berasal dari wang zakat
rakyat, ia patut kembali terus untuk membantu asnaf zakat ini," kata beliau.

"Apa salahnya, Mains membantu golongan asnaf ini dengan memberikan bantuan modal untuk berniaga kecil-kecilan, misalnya menjual goreng pisang, menjual buah atau menjual burger misalnya daripada berfikir untuk membina menara 15 tingkat.

"Tambahan lagi ketika umat Islam berbincang soal ada antara mereka terpaksa menerima bantuan dari pihak lain termasuk gereja untuk hidup, apa rasionalnya Mains mahu membina menara," kata Taufek kepada Harakahdaily.

Beliau mengganggap, buat masa ini tidak ada keperluan untuk Mains membina menara itu kerana di Negeri Sembilan sekarang ini kerana kegiatan hartanah di ini belum sampai ke peringkat keperluan untuk projek seumpama itu.

Ekoran itu, beliau akan membawa perkara ini ke mesyuarat Pakatan Rakyat bagi membincangkan tindakan bersama.

"Di samping itu, saya akan meminta pihak Lajnah IT kita membina prasarana termasuk Facebook untuk menjelaskan isu ini," kata beliau lagi.

Tidak wajar

Sementara itu, Badrul Hisham Shahrin (gambar) atau chegu Bard dalam satu kenyataannya berkata, Parti Keadilan Rakyat Cabang Rembau pada satu peringkat bersetuju dengan pembinaan menara 15 tingkat yang akan bukan saja memberikan imej positif kepada institusi pengurusan Agama Islam di negeri ini tetapi secara umumnya akan menjadi kebanggaan negeri ini secara amnya.

"Namun sedikit kegusaran muncul apabila memikirkan benarkah Mains memerlukan pembinaan menara ini sekarang ? Adakah ia merupakan satu 'perlaburan' bijak Mains pada ketika ini?" kata beliau dalam satu kenyataan.

Kegusaran ini sudah tentu tak boleh dielakkan apabila melihat pelaburan Mains sebelum ini mengakibatkan kerugian dan tidak begitu berjaya seperti Bazaar Mains Seremban.

Kompleks Bazaar Mains mula beroperasi pada tahun 2005. Ianya terletak di tengah-tengah bandar Seremban iaitu di Jalan Dato Abdul Rahman.

Kompleks Bazaar Mains ini adalah merupakan bangunan dua tingkat terdiri dari 52 lot kedai yang menempatkan 31 lot kedai di tingkat atas dan 21 lot kedai di tingkat bawah.

Projek Baazar Mains yang ingin mengangkat idea Pekan Rabu (Alor Setar) ini menelan belanja besar tetapi sehingga kini pulangan tidak berbaloi.

Malah peniaga yang berniaga di situ juga mengeluh kerana tumpuan orang ramai yang tidak memberansangkan ke kompleks tersebut.

Sehinggalah ada blogger di negeri ini mengenengahkan keluhan peniaga di kompleks itu baru ada sedikit perhatian.

Malah bloghttp://bazaarmains.blogspot.com/ telah diwujudkan secara sukarela oleh seorang blogger tempatan untuk mempromosikan kompleks tersebut setelah kesian melihat keadaan peniagaan di kompleks tersebut.

Parti Keadilan Rakyat Rembau, kata Cikgu Bard, mengesa satu kajian secara menyeluruh harus dilakukan sebelum meneruskan niat membina menara 15 tingkat ini.

Malah pembiayaan dan perbelanjaan projek ini juga harus diumumkan untuk memastikan ketelusan dalam projek ini, katanya.

No comments: