Sunday, September 11, 2011

Pesakit angin ahmar terima kerusi roda

PARIT BUNTAR , 10 Sept. : Akibat diserang penyakit angin ahmar dua tahun lalu, seorang warga emas di Taman Seri Semarak, di sini tidak mampu bergerak dan memerlukan bantuan isterinya bagi melakukan urusan harian.

Warga emas, G Thanimale, 64, berkata, dia yang dahulunya bekerja sebagai buruh, tidak mampu mencari rezeki akibat keadaannya kini.


Menurutnya, anak-anaknya hanya dapat membantu apa yang termampu kerana mereka sudah berkeluarga dan berpendapatan rendah.

“Saya amat memerlukan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan melakukan urusan harian dan tidak mampu menyusahkan isteri saya,” katanya kepada :Sinar Harian.:

Masalah yang dihadapi Thanimale mendapat perhatian Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar serta Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Parit Buntar.

Pihak berkenaan tampil dengan menyumbang kerusi roda bagi memudahkan warga emas itu bergerak.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau berusaha mencari peruntukan bagi membantu warga emas itu sebaik sahaja mengetahui masalahnya.

Menurutnya, kehidupan warga emas itu cuma bergantung sepenuhnya kepada isterinya yang juga sudah uzur untuk bergerak melakukan aktiviti harian.

“Pada hari ini (semalam) setelah mendapat tahu perihal warga emas yang memerlukan sebuah kerusi roda saya dengan serta merta mencari dana untuk membantu bagi meringankan beban beliau di sini,” katanya.SH

No comments: