Friday, September 16, 2011

“setelah beribu orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, menjelang pilihan raya barulah ia dihapuskan ”- Presiden PAS


Pakatan Rakyat menyifatkan pembaharuan politik termasuk pemansuhan beberapa undang-undang, yang diumumkan oleh pentadbiran Najib malam tadi mempunyai tujuan politik dan tawaran pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Putrajaya membuat pengumuman penting itu ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat.


Sehubungan itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu berkaitan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa undang-undang lain yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


“Ini kerana kita hendak melihat dahulu perundangan alternatif yang disebut oleh kerajaan, hendak dibuat menggantikan ISA. Terlalu awal untuk kita memberi respons terhadap pembatalan tersebut.


“Tambahan pula ia dibuat menjelang pilihan raya yang kita lihat sebagai tujuan politik dan tawaran pilihan raya Barisan Nasional,” kata Ahli Parlimen Marang ini sambil menambah, “setelah beribu orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, menjelang pilihan raya barulah ia dihapuskan.”


Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada semua pejuang kebebasan dan hak asasi manusia kerana kerajaan Umno-BN akhirnya terpaksa akur dengan kebenaran dan keadilan yang mereka perjuangkan selama berdekad-dekad.


“Ribuan pejuang ini dipenjara, difitnah dan menderita pelbagai kezaliman demi untuk hak dan kebebasan rakyat yang dinodai oleh Umno-BN sejak merdeka lagi,” kata wakil rakyat ini dalam satu kenyataan pagi ini.


Ahli Parlimen Gombak ini menambah, tanpa kegigihan perjuangan mereka yang sentiasa memberikan tekanan ke atas Najib, pastinya beliau tidak akan membuat kenyataan semalam untuk menamatkan darurat dan menyarankan untuk memansuhkan ISA.


Katanya, semangat perjuangan rakyat telah menjadi sebahagian daripada darah daging perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.


“Pakatan Rakyat meneruskan perjuangan ini dengan memasukkannya ke dalam Buku Jingga,” katan beliau lagi.


Justeru katanya, apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri bukan satu kurnia kepada rakyat sempena Hari Malaysia, sebaliknya ia adalah hasil perjuangan getir.


“Maka tahniah yang sebenar adalah untuk para pejuang kebebasan dan hak asasi baik dari parti-parti politik mahupun dari NGO.


“Sebagaimana kita tidak memberikan tahniah kepada British kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi tarikh tersebut kita rayakan sebagai kemuncak kejayaan perjuagan menentang penjajahan,” kata Azmin lagi.


Pun begitu jelas Azmin, “kita mengalu-alukan langkah yang diambil Perdana Menteri yang tentunya membuka lembaran baru kepada persekitaran politik Malaysia sekiranya apa yang diumumkan dikotakan dan tidak sebagai satu retorika serta sekadar bersifat kosmetik demi memulihkan imej politik.”

Sejajar dengan pengumuman Najib semalam, tegas Azmin, kerajaan seharusnya membebaskan semua tahanan yang ditahan tanpa bicara atau hadapkan mereka ke mahkamah untuk diadili.


“Menutup pusat tahanan yang menempatkan tahanan yang ditahan tanpa bicara seumpama Pusat Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam. Segera melaksanakan proses siasatan terhadap segala aduan seksaan terhadap para tahanan,” kata beliau.


Malah beliau juga menyarankan agar diwujudkan segera Majlis Perundingan Kebangsaan bagi menggubal dua rang undang-undang mencegah keganasan dan aktiviti subversif yang bakal dibentangkan di Parlimen.


Tegas beliau, Pakatan Rakyat tidak mahu undang-undang yang bakal digubal ini masih menerapkan unsur perundangan antaranya yang mirip dengan peruntukan Seksyen 73(1) dan Seksyen 8 ISA.


“Kedua-dua peruntukan tersebut memberi kuasa kepada menteri untuk menahan sesiapa sahaja dan membolehkan menteri itu menyalah guna kuasa demi kepentingannya semata-mata.


“Pastinya pengumuman pemansuhan ISA tidak membawa sebarang erti sekiranya kedua-dua akta yang bakal digubal itu itu masih membolehkan Tahanan Tanpa Bicara,” kata beliau.


Sementara itu Pengerusi Perpaduan Nasional PAS Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat menerima pengumuman Najib tentang pemansuhan ISA dan beberapa akta yang lain sebagai langkah awal terhadap kesedaran kebebasan bertanggungjawab di negara ini.


Begitu juga mengembalikan semangat sebenar Artikel 10 tentang kebebasan berhimpun dan melonggarkan rejim lesen media adalah dilihat langkah yang baik, kata beliau.


“Sehubungan itu, kita merasakan penghargaan sebenarnya seharusnya diberi kepada mereka yang telah membuat tuntutan-tuntutan tersebut dengan lebih awal antaranya ialah perhimpunan Gerakan Mansuh ISA, Bersih dan pejuang kebebasan media yang lain.


“Ini tidak termasuk ahli-ahli politik khususnya pembangkang yang tanpa penat lelah mendesak pemerintah menghapuskan sekatan-sekatan ini dan mengambil risiko yang tinggi,” katanya lagi.


Ahli Parlimen Parit Buntar ini menambah, “paling utama ialah sokongan rakyat kepada usaha-usaha ini sehingga kerajaan terpaksa akur dengan desakan mulia ini.”


“Saya mengharapkan supaya kerajaan hari ini melalui Perdana Menteri tidak isytiharkan ini untuk meraih sokongan politik semata-mata tetapi berbuat demikian dengan penuh kesedaran terhadap pertanggungjawaban membina masa depan anak bangsa dengan nilai-nilai ketamadunan yang tinggi dan mulia.


“Alangkah baiknya bagi rakyat negara ini membuat pilihan dalam pilihan raya umum akan datang kepada parti yang tak perlu didesak untuk melakukan reformasi dan islah besar negara tetapi menjadikan reformasi dan islah sebagai intipati perjuangan mereka,” katanya.

No comments: