Pembinaan Lebuhraya Jabor, Kemaman, Terengganu yang termasuk dalam sebahagian Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menimbulkan persoalan, apabila dikesan menelan kos amat tinggi sehingga melebihi RM2 bilion dari harga asal.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menimbulkan persoalan itu berkata, kos asal pembinaan lebuhraya itu hanyalah RM3 bilion, tetapi kini telah menjadi RM5 bilion.
Menurut beliau, kejadian yang amat menyedihkan itu tidak sepatut berlaku kerana ia melibatkan wang rakyat yang sepatutnya digunakan dengan betul.
Katanya, projek tersebut telah dibina sejak tahun 2007 dan dijangka siap tahun lalu, tetapi masih juga tidak siap hingga sekarang.
"Siapakah yang bertanggungjawab dalam hal ini. Kenapa kejadian ini berlaku? Ini merupakan kelemahan JKR dan kementerian terbabit perlu bertanggungjawab dalam hal ini," katanya ketika berucap pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Kejadian itu, menurut beliau, belum lagi diambil kira dengan persoalan tol yang nantinya pasti akan mencetuskan pula beberapa tanda tanya lain.
"Sehingga sekarang, kita masih belum tahu siapakah yang akan mengendalikan tol dan siapakah yang akan memegang konsesinya," katanya.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut mempersoalkan projek tidak cerdik Umno BN yang membina jambatan di atas daratan.
Katanya, projek tersebut dibina di daerah Kemaman, Terengganu dengan kos RM174 juta dan ternyata turut melibatkan kos amat tinggi sehingga melebihi RM70 juta dari harga sebenar.
"Ini merupakan satu projek pelik Umno BN yang membina jambatan di daratan dan dan kosnya pula amat tinggi serta melebihi kos sebenar," katanya yang juga Ketua Umum PKR.
Beliau turut membidas sikap para pemimpin Umno yang lebih mementingkan diri sendiri daripada memikirkan derita rakyat dengan membuat cadangan untuk menaikkan elaun wakil-wakil rakyat.
Sehingga kini, katanya, keniskinan tegar di kalangan rakyat masih belum diatasi, tetapi para pemimpin Umno sanggup membuat cadangan untuk menaikkan elaun wakil-wakil rakyat tanpa memikirkan derita rakyat.
"Nak naik gaji minima pun tak setuju. Peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen atau wakil-wakil rakyat pun tak diberi dengan adil.
"Peruntukan kepada wakil-wakil rakyat atau ahli-ahli Parlimen pembangkang tak diberikan untuk membolehkan mereka mempergunakannya untuk kepentingan rakyat di kawasan masing-masing. Jadi susahlah saya nak sokong cadangan itu," katanya.
Beliau amat sedih kerana dalam keadaan nasib rakyat tidak terbela pun, masih terdapat para pemimpin Umno BN yang tergamak "songlap" wang rakyat dengan pelbagai cara termasuk menerusi projek-projek yang dibuat oleh kerajaan.
Read more: http://suwaritimur.blogspot.com/2011/11/lagi-teknik-rahasia-hasilkan-uwang.html#ixzz1cY1PzEgV
No comments:
Post a Comment