Saturday, December 31, 2011

UMNO RASIS!!! Apa kata Tee Keat?

Dalam keghairahan Umno/Bn untuk ‘menang besar’ pada PRU13, adakah kini Umno/Bn sudah betul betul bersiap sedia untuk mempertahankan Putrajaya ?.

Apakah persepsi dari veteran Umno/Bn untuk kekalkan kuasa majoriti 2/3 di Dewan Parlimen?

Bolehkah Najib mengekalkan kedudukan seperti Pak Lah pada PRU12 yang lalu ?.

Salah seorang veteran komponen Bn Ong Tee Kiat memberikan perspektif terkini Umno/Bn dalam politik Malaysia.

Tee Kiat: saya contoh negatif bagi najib

Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin berusaha untuk meyakinkan partinya supaya mengambil pendekatan yang sederhana, tetapi bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berpendapat, pada realitinya, Umno lebih beranjak ke kanan.

Bercakap kepada Malaysiakini minggu lalu, beliau berkata, Umno menjadi demikian kerana tekanan dari dalam dan luar, yang memaksanya untuk memperkukuhkan asas sokongan komunitinya.

Walaupun Ong bersetuju bahawa Najib mungkin mempunyai niat untuk membawa pembaharuan dalam partinya serta BN, tetapi Umno, bagaimanapun, mungkin tidak sentiasa berpegang kepada pelan pembaharuannya, terutama apabila menjadi tumpuan pemantauan kumpulan pendesak seperti PERKASA.

Beliau diminta mengulas mengenai perbezaan antara tiga perdana menteri – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.

“Mahathir adalah seorang pemimpin yang sangat kuat dan dominan. Tetapi sekurang-kurangnya, beliau sentiasa dapat memberikan jawapan kepada anda walaupun apabila menghadapi isu yang meletup dan kontroversi. Tetapi, sudah tentu, beliau juga adalah seorang pemimpin yang kontroversi.

“Abdullah adalah seorang yang baik. Dia mungkin tidak boleh memberi jawapan yang jelas tetapi beliau boleh memahami batasan dan rasa tidak puas hati anda.

“Bagi perdana menteri sekarang, saya dapat melihat beliau mahu melakukan sesuatu dan membawa pembaharuan. Tetapi dalam perjalanan menuju pembaharuan, anda terpaksa berdepan dengan tekanan dari dalam dan luar parti.

“Dalam situasi tersebut, anda mungkin tidak sentiasa berpegang kepada cara anda sendiri,” kata Ong, yang pernah berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri di bawah tiga perdana menteri.

Beliau berkata di bawah sistem perwakilan semasa, perdana menteri dan presiden BN pun tidak boleh bertahan jika kehilangan sokongan parti.

“Anda bukan sahaja ketua eksekutif kerajaan , tetapi juga seorang ketua parti. Anda terpaksa berdepan dengan tekanan dalam parti anda sendiri, dan jika anda tidak boleh mengekalkan sokongan parti anda, maka anda boleh kehilangan kedudukan anda dalam kerajaan.”

Ong, yang mendesak dijalankan penyiasatan terhadap skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sewaktu menjadi menteri pengangkutan, menyifatkan dirinya sebagai contoh negatif bagi Najib.

NONEOng terlbabit dalam pergelutan kuasa yang berlanjutan dengan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (kanan), yang ketika itu merupakan timbalannya, dan ia sampai ke kemuncaknya dengan penyingkiran Chua ekoran pendedahan video seksnya yang telah disebarkan secara meluas.

Bagaimanapun, pada tahun 2009, penyokong Dr Chua berjaya mengembalikan semula kedudukannya sebagai timbalan, dan Ong jatuh pada tahun berikutnya, selepas anggota jawatankuasa pusat parti itu meletak jawatan secara beramai-ramai, yang membawa kepada mesyuarat agung luar biasa.

Ong sejak itu memilih untuk memberi tumpuan kepada kawasan pilihan raya yang diwakilinya.

Satu setengah tahun selepas kehilangan jawatan presiden, Ong tidak mahu mengulas mengenai masa depan MCA dan BN.

Bagaimanapun beliau berpendapat MCA tidak akan meraih sokongan yang banyak jika ia terus menerus bergantung kepada isu negara Islam.

Katanya, rakyat lebih mementingkan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan bukan isu negara islam.

Menurutnya, kebanyakan persoalan hari ini telahpun dibangkitkan dalam tahun 1990-an, dan oleh itu, beliau tidak fikir ia boleh memberi sebarang impak, walaupun parti-parti orang Cina dalam kerajaan, terus menerus memainkan isu tersebut.

“Mungkin ada yang berfikir bahawa apa yang anda katakan itu adalah satu ilusi, kita tidak tahu sama ada ini akan dilaksanakan atau tidak. Tetapi rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah masalah yang kita boleh rasai.”

mKini

No comments: