Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Apabila membincangkan aspek kejayaan atau kegagalan sesebuah kerajaan negeri perkara penting yang perlu dibuat ialah mengenalpasti skop pertanggungjawapan.
Ada urusan yang menjadi bidangkuasa negeri semata-mata, misalnya urusan tanah, pentadbiran agama Islam dan protoKol istana.
Ada urusan yang menjadi bidangkuasa kerajaan Persekutuan semata-mata, misalnya pengurusan kesihatan, pendidikan melibatkan sekolah dan IPTA dan keselamatan. Ada juga urusan yang menjadi tanggungjawab bersama, misalnya bidang pertanian dan kebajikan.
Akibat kejahilan sebahagian rakyat dalam mengenalpasti peranan dua kerajaan ini (Pusat dan negeri) maka BN telah mengeksploitasi sepenuhnya keadaan itu dengan mendakwa bahawa segala yang buruk berlaku di dalam negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat adalah berpunca dari kelemahan kerajaan negeri. Manakala semua kejayaan adalah dibuat oleh Pusat.
Media BN menyerang kerajaan negeri berhubung isu ekonomi dan pengangkutan awam, walhal perkara tersebut di bawah bidangkuasa Pusat.
Mereka juga membangkitkan isu jalan MADA dan jalan luarbandar yang gagal diturap walhal perkara tersebut tidak menjadi tangungjawab kepada kerajaan negeri.
Mereka membangkitkan isu pelancongan, pelaburan dan kebajikan sedangkan perkara tersebut adalah isu bersama yang mesti ditangani oleh Pusat dan Negeri.
Baru-baru ini RTM menganjurkan forum Bicara Rakyat. Seorang pensyarah kangkong dari sebuah IPTA menghentam kerajaan negeri kononnya sepanjang empat tahun mentadbir negeri tiada perubahan yang dilihatnya di Bandaraya Alor Setar.
Mujur antara yang menjadi panel forum tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah Dr. Ismail Salleh. Beliau menjawab dengan ilmiah dan berhemah. Jika penulis yang menjadi panelis maka ayat pertama yang dilontarkan ialah, “Awak pensyarah buta!”
Begitu banyak perubahan yang berlaku di Bandaraya Alor Setar sepanjang empat tahun, jika perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan fizikal (yang menjadi kayu ukur pembangunan BN yang sekular); maka dalam tempoh yang singkat begitu banyak kawasan perumahan yang muncul di Langgar, Tandop, Alor Mengkudu, Kuala Kedah, Kuala Sungai dan Mergong sekaligus mengubah lanskap bandaraya Alor Setar.
Perumahan dibangunkan oleh pihak swasta dan GLC melalui perancangan teliti serta kelulusan oleh kerajaan negeri. Apabila wujudnya perumahan, sekaligus mewujudkan premis-premis perniagaan yang akan menjana ekonomi negeri.
Pusat Bandaraya Alor Setar kini berubah wajah. Bangunan serbanika yang usang di Stesyen Bas Baru dirobohkan dan dibangunkan UKIR Mall yang tersergam gagah.
Ia projek Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Di belakangnya dibina medan selera yang baru dan cantik. Di sisi UKIR Mall yang dahulunya menjadi bangunan usang tinggalan sebuah syarikat bas, kini dibangunkan sebagai gerai-gerai makanan ala ‘one stop center’. Berpuluh peniaga Melayu boleh mencari rezeki.
Kalau di zaman BN Bandaraya Alor Setar hanya menjadi bandar mati, atau sekadar tempat anak muda melepak dan merempit kini bandaraya lebih ceria dengan wujudnya bazaar larut malam di perkarangan stadium dan bazaar sinar malam di perkarangan Pekan Rabu. Hampir semua yang terbabit dengan perniagaan adalah golongan Bumiputera.
Di sepanjang jalan utama pusat bandar, Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) membina tembok penghadang. Di samping mencantikkan pemandangan ia mengurangkan ancaman keselamatan terhadap pejalan kaki. Bulatan Jalan Kota dibangunkan semula.
Anak Kedah di perantauan pulang ke Kedah dan berkunjung ke Alor Setar tercari-cari di mana letaknya ‘junjungan mahkota’ di bulatan Teluk Wanjah.
Rupanya ia sudah hilang apabila sebuah jalan atas yang lebih besar dibina di situ. Kalau ada orang yang mendakwa wajah Alor Setar tidak berubah, maka individu itu sangat ketinggalan zaman.
Di zaman BN terdapat sebuah bangunan usang gergasi bersebelahan Menara Alor Setar. Pihak menara agak sukar melakukan promosi terhadap menara kerana pemandangan pertama yang pengunjung saksikan ialah sebuah bangunan lusuh yang terbengkalai.
Bangunan itu terbengkalai selama 33 tahun tanpa dapat dilakukan apa-apa oleh lima orang Menteri Besar BN.
Alhamdulillah, selepas tiga tahun Pakatan Rakyat mentadbir bangunan usang itu berjaya dirobohkan untuk dibangunkan sebuah super mega mall.
PKNK dengan kerjasama sebuah syarikat swasta akan membangunkan kawasan tersebut dengan nama Aman Central. Pembinaan projel Aman Mall yang bernilai 500 juta itu sedang berjalan dan dijangka siap dalam masa 30 bulan.
Di penjuru super mega mall itu akan dibina sebuah surau besar yang boleh menampung 400 jemaah dalam satu masa. Ia mungkin kali pertama di negara ini sebuah pusat membelibelah raksasa mempunyai sebuah surau yang gah terserlah, ada kubah dan menara serta boleh melaungkan azan sepanjang lima waktu melalui pembesar suara tanpa halangan. Ia tidak berlaku atau tidak mampu dibuat di zaman BN.
Itulah yang membuatkan UMNO Kedah meracau siang malam, lalu mengaitkan pembinaan projek raksasa Aman Central kononnya melalui perobohan sebuah bangunan bernama Salihiah.
Ia didirikan di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Kedah (MAIK). Madrasah yang didakwa sebuah surau itu sebenarnya adalah sebuah bangunan yang sebelum ini adalah pejabat sebuah syarikat insuran.
Terdapat sebuah surau di ruang atas bangunan itu tetapi tidak dimakmurkan sepanjang waktu.
Apabila Majlis fatwa memutuskan bahawa tanah wakaf dan bangunan itu boleh ditukar tempat melalui kaedah istibdal, maka pembangkang mengambil kesempatan mengeksploit sebagai isu itu sebagai isu politik, kononnya kerajaan negeri memaksa 10 ahli Majlis Fatwa membuat fatwa mengikut kehendak pemaju. Sungguh dungu tuduhan itu.
Apa yang hendak diceritakan di sini ialah kejayaan kerajaan PR mengubah wajah bandaraya Alor Setar dari aspek pembangunan fizikalnya, jika itulah yang ditagih oleh pihak pembangkang yang sering memomokkan kononnya kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa.
Penulis hanya mencatatkan secebis dari begitu banyak perubahan di bandaraya Alor Setar, belum lagi di tempat lain. Ruangan amat terhadap untuk menyenaraikan perubahan lanskap fizikal seluruh negeri Kedah.
Sekurang-kurangnya ia dapat mencelikkan tohmahan seorang pensyarah kangkong pro BN.
Jika projek kerohanian pula yang ditohmah sebagai tidak dilakukan sepanjang PR memerintah Kedah, maka ia lebih sedap untuk disenaraikan.
Kuliah agama di seri Mentaloon, Kem Anak Soleh, Kem Bina Insan, Kem Bina Sahsiah, Kem Belia Sejahtera, Mahligai Sejahtera, bantuan terhadap sekolah agama rakyat, guru Al-Quran sukarela, guru pra sekolah adalah antara yang berlaku di zaman PR oleh kerajaan negeri tetapi tidak dilakukan oleh kerajaan negeri dahulu.
Tapi biasalah pembangkang, jarang menumpu aspek kerohanian di Kedah untuk menyerang kerajaan negeri kerana mereka pun ‘kemere’ dalam bidang tersebut.
No comments:
Post a Comment