Thursday, February 9, 2012

APA CERITA 'JALAN SULTAN'?!!! Sehinggakan artis popular, seniman, karyawan dan budayawan tampil membantah Najib

Tanpa diduga, isu pengambilan tanah sepanjang Jalan Sultan untuk memberi laluan kepada pembinaan projek MRT telah menarik keprihatinan orang ramai.

Artis popular, seniman, karyawan dan budayawan yang sebelum ini dianggap "bersikap dingin terhadap politik", kini tampil untuk menyatakan bantahan terhadap pencerobohan tanah warisan yang bersejarah itu.


Ribuan manusia membanjiri Jalan Sultan pada 5 Februari, untuk menyambut
Chap Goh Meh buat kali terakhir di Jalan Sultan, seandainya ia terpaksa dirobohkan untuk projek pembinaan MRT.

Jalan Sultan yang bersilang dengan Jalan Petaling di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, antara pusat kegiatan ekonomi sejak ratusan tahun yang lalu - kini menjadi ingatan kolektif untuk ramai penduduk yang bekerja dan menetap di Kuala Lumpur.

Mereka hadir bukan dengan tujuan "menyambut hari perayaan" ini semata-mata, tetapi jelas membawa mesej bahawa Jalan Sultan harus dikekalkan.

Antara artis
pop yang tampil pada malam itu, ada yang memulakan kerjaya mereka sebagai penyanyi di kafe yang bertapak di Jalan Sultan. Di situ jugalah tempat budayawan dan seniman mencari ilham untuk ciptaan karya mereka.

Seandainya produk budaya mempunyai pengaruhnya terhadap sesebuah komuniti, maka tidak hairanlah Jalan Sultan menyimpan nostalgia orang ramai, khususnya komuniti Cina.

Pandangan diluahkan melalui Facebook

Justeru itu, pengambilan tanah di sepanjang Jalan Sultan telah mencungkil ketidakpuasan orang ramai sejak berita ini menyarat ruang dada media.

Lebih-lebih lagi apabila Jabatan Tanah dan Galian memberi kata dua kepada pemilik tanah di sepanjang Jalan Sultan - sama ada mencapai persetujuan dengan MRT Corps menjelang 30 Januari 2012 atau tanah mereka akan diambil di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.


Kebetulan Perdana Menteri Najib Razak membuka laman sosial rasminya dalam bahasa Cina, mengambil nama Ah Jib Gor yang bermaksud Abang Jib pada bulan Januari 2012.

Maka warga internet telah mempergunakan saluran itu untuk meluahkan pandangan mereka terhadap Najib.

Antaranya, Echo Koh Wee Sun, seorang suri rumah tangga yang pernah memberikan sejambak bunga kepada Muhammad Safwan Anang ketika beliau dicederakan dalam insiden perhimpunan di luar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, dan ditampal pada laman sosial rasminya dalam bahasa Cina.

Surat tersebut kemudian diterjemahkan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.

Antara luahan Koh Wee Sun, "Selama ini saya menganggap tanah warisan tidak dimiliki sesiapa. Ia dimiliki setiap keturunan rakyat yang hidup di negara ini. Tanah warisan dimiliki anak-anak dan cucu-cicit kita, dan keturunan selepas mereka. Setiap keturunan harus melindungi tanah warisan ini dengan sedaya-upaya, memastikan tanah warisan ini diwarisi dari satu keturunan ke satu keturunan berikutnya. Setiap keturunan seharusnya nampak, memegang malah hidup di atas tanah warisan ini. Saya menganggap ini hak asasi kita sebagai seorang warga negara."

Justeru itu, apabila saya terdengar khabar bahawa Jalan Sultan, tanah warisan yang mempunyai sejarah ratusan tahun, mungkin dikorbankan untuk memberi laluan kepada projek pembinaan MRT, ia amat memilukan hati saya. Tersangat sedih hati saya. Untuk saya ia tidak seharusnya berlaku sebegitu. Saya merasakan bahawa diri saya tidak terdaya untuk melakukan apa-apa. Seandainya generasi kita ini, sebagai ibu bapa kepada anak kita - gagal mempertahankan tanah warisan ini, ertinya kita tidak menjalankan tanggungjawab kita. Seandainya saya hanya berpeluk tubuh, terpaku dan menatap bagaimana tanah warisan dicerobohkan tanpa meluahkan suara dalam hati saya - saya berasa bersalah ketika berdepan dengan anak saya.


Ia mungkin di luar kawalan saya untuk menentukan sama ada sesuatu yang dimiliki anak-anak itu boleh diwarisi kepada mereka. Namun sekurang-kurangnya saya perlu mencari satu saluran, untuk saya suarakan kepada anda - betapa sedihnya seorang ibu, kerana dirinya gagal mempertahankan tanah warisan yang dimiliki oleh anak-anak kita.

Padahalnya saya tidak tahu sama ada anda dapat membaca tulisan ini ketika saya menulis. Namun saya perlu menulis, kerana saya terasa beratnya beban yang dipikul dalam hati saya. Saya perlu melakukan sesuatu, agar saya mampu berdepan dengan anak-anak saya. Saya tidak boleh berpeluk tubuh dan pasrah begitu sahaja - kerana ini negara saya, dan saya cintai negara saya."


Mendapat lebih 6,000 "like"


Tulisan ini ditampal pada laman sosial
Ah Jib Gor pada 30 Januari 2012, dan meraih lebih 6,000 "like" sehingga kini. Ini mungkin petikan yang paling diminati warga internet pada laman Ah Jib Gor sejak ia ditubuhkan pada 13 Januari 2012, memandangkan status PM sendiri rata-ratanya hanya mendapat puluhan "like".

Malah, ramai yang menyalin dan menampal semula "surat terbuka" ini pada laman Ah Jib Gor, sehingga melambak dan ada yang dipadamkan oleh admin, menurut dakwaan sesetengah warga internet.

Bagaimanapun, Ah Jib Gor masih tidak respon kepada isu Jalan Sultan ini. I

a mencetus kemarahan dan pertikaian warga internet, berbunyi apa gunanya Ah Jib Gor ditubuhkan jikalau enggan menjawab soalan daripada rakyat?

Malah Echo Koh Wee Sun sendiri menyusul dengan persoalannya, mengapa satu persoalan yang mendapat lebih 6,000 "like" tidak diambil berat PM?

MerdekaReview
pernah mendapatkan respon Setiausaha Politik Najib, Wong Nai Chee pada 3 Februari 2012, dan beliau mendakwa bahawa dirinya telah dimaklumkan mengenai isu ini.

Bagaimanapun, Wong mendakwa bahawa dirinya berada di Ipoh, sementara Najib berada di Terengganu pada 3 Februari, maka beliau masih gagal mendapatkan jawapan atau maklum balas daripada PM mengenai isu Jalan Sultan.

Lagipun, banyak isu yang dibangkitkan oleh warga internet di laman Ah Jib Gor, menurutnya.

Hampir seminggu berlalu,
MerdekaReview mendapati Ah Jib Gor masih tidak respon kepada isu yang semakin hangat diperbincangkan dalam masyarakat Cina ini, sehingga jam 3 petang tadi.

Malah sehingga hari ini, masih ramai yang menyalin dan menampal semula surat terbuka di atas di laman Ah Jib Gor, menunggu jawapannya.

No comments: