Wednesday, February 15, 2012

RM 500 TAK CUKUP!!! Harga barang luar bandar terlalu mahal

Mengikut keluasan negeri-negeri di Malaysia, Sarawak mempunyai keluasan 124,449 (km² ) dan mengikut banci terakhir (2010), penduduk Sarawak adalah 2,420,009 juta orang ini tidak termasuk mereka yang tidak memiliki surat beranak dan MyKad. Sarawak juga kaya dengan sumber asli dan bahan mentah seperti petroleum, gas asli, kayu balak, arang batu dan sebagainya.


Penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil di utara Sarawak, adalah antara jutaan penduduk luar bandar di Sarawak, yang terpaksa membayar harga lebih setong gas, seliter petrol dan diesel. Menurut penduduk yang tinggal di pedalaman Sarawak, kos kehidupan mereka lebih tinggi dibandingkan di bandar disebabkan harga minyak naik. Harga makanan dalam tin lebih tinggi lagi kalau dibanding dengan harga yang berada di pasaran, begitu juga dengan harga petrol untuk menghidupkan generator dan sebagainya.


Hampir semua harga barang keperluan yang diangkut dari bandar semuanya dijual mahal dan harganya berlipat kali ganda, kalau dibandingkan dengan harga pasaran di kawasan bandar. Bayangkan mereka terpaksa bayar lebih untuk membeli barang keperluan harian dan juga petrol yang harganya terlalu mahal kalau dibandingkan harga di kawasan bandar. Siapa yang untung hasil dari penjualan ini?



Antara punca utama perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh jalan perhubungan yang teruk dan sukar untuk dilalui oleh kenderaan pengangkutan untuk menyalurkan barang keperluan ke luar bandar dan pedalaman. Pihak kerajaan dapat mengatasi masalah ini dengan membina lebih banyak jalan perhubungan terus, ke luar bandar dan sudah pasti masalah harga barang keperluan di luar bandar dapat dikurangkan.


Ke mana perginya peruntukan berbillion ringgit yang diterima oleh kerajaan negeri untuk pembinaan jalanraya di luar bandar di Sarawak? Sepatutnya, masalah jalanraya ke luar bandar di Sarawak sudah dapat di atasi lebih dari 10 ke 20 tahun yang lalu sekiranya peruntukan tersebut diguna dengan sebaiknya tanpa ada ketirisan, tetapi sampai sekarang masalah tersebut masih belum dapat diatasi. Apa punca masalah tersebut?


Struktur geografi Sarawak yang landai serta berbukit bukau diselangi dengan jaringan sungai-sungai yang berliku-liku menjadi faktor mengapa pengangkutan paling utama di negeri ini, adalah melalui sungai dan juga udara. Tambahan pula negeri Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia.


Penduduk luar bandar dan pedalaman di Sarawak bergantung kepada sungai sebagai asas pengangkutan harian, kebanyakannya mereka adalah petani dan juga penternak. Tetapi mengapakah beban kehidupan seharian mereka perlu ditanggung berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding dengan penduduk bandar yang kebanyakannya bekerja dengan bergaji besar, berkemampuan dan ada yang hidup serba mewah?


Kita banyak mendengar rungutan dari penduduk yang tinggal di luar bandar yang menyatakan harga barangan keperluan harian mereka, lebih mahal dari harga barangan yang terdapat di kawasan bandar. Contohnya di kawasan Bakong, di sebuah kedai di sungai Kelat, di mana orang Iban dari 3 buah rumah panjang dan pekerja estate yang berdekatan membeli barang runcit dengan harga yang lebih dari harga pasaran di bandar.


Kalau kita beli petrol RM10 dengan container 4 liters tidak penuh,tetapi kalau dibeli di Pekan Bekenu, penuh dan ada lebihan pulangan 30 sen. Estate ini adalah dikawasan belakang Rh Lani, Rh Suyong dan Rh Biri, Kuap di Sebuti.


Antara contoh lain:

Kampung Ladang 3, Sibuti: Petrol Ron95 RM 5 seliter !!
Beluru Bakong , Baram: Petrol Ron95 RM4 - seliter !!
Rumah Sg Medang / Sg Banjang: Petrol Ron95 RM 5.50 - 2 liter !!

Demikianlah beberapa contoh yang diberi oleh penduduk yang tinggal dalam kawasan tersebut. Sama ada benar atau tidak aduan pihak berkenaan, pihak berkuasa boleh pergi menyiasat sendiri dengan lebih terperinci di kawasan yang tersebut di atas.


Adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bertindak membantu penduduk luar bandar terbabit yang terpaksa membayar lebih keatas barang keperluan harian mereka?


Walaupun pihak kerajaan memperkenalkan projek pengedaran barangan perlu (BP), penyeragaman harga gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming (CD) membabitkan diesel dan petrol untuk meringankan bebanan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman,adakah mereka sentiasa memantau aktiviti pengedaran dan penjualan barangan perlu (BP) tersebut?


Kita berharap pihak yang berwajib sentiasa memantau serta mengawasi perkara ini agar tidak berlaku penyelewengan dalam pengedaran barangan perlu (BP), penyeragaman harga gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming (CD) untuk kemudahan penduduk kampong yang tinggal di luar bandar dan di pedalaman.


Kita mencadangkan agar Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) dibina dalam kawasan luar bandar, khas untuk penduduk luar bandar membeli barang keperluan harian mereka dengan harga yang berpatutan dan di beri kuota kepada peniaga bumiputera serta dikawal sepenuhnya oleh pihak yang berwajib agar tidak berlaku kenaikan harga barangan yang melampau, yang selama ini telah dikuasai oleh pihak pihak ketiga.


Kerajaan Sarawak sepatutnya membina lebih banyak lagi infrastruktur serta memberi kemudahan asas kepada penduduk di luar bandar dan juga yang tinggal di pedalaman, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa setelah sekian lama hidup dalam kesusahan dan dalam kegelapan akibat tiada jalan perhubungan yang baik di Sarawak dan masih jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan Semananjung Malaysia.


Kalau kerajaan Sarawak benar-benar ingin membantu rakyat Sarawak hidup dalam keadaan yang menyenangkan, mereka perlu ada sifat amanah, jujur, telus serta prihatin dengan keperluan rakyat Sarawak.


Kita yakin kalau kerajaan Sarawak dapat mentadbir kerajaan dengan baik, sudah pasti Sarawak boleh maju dan kaya, lebih awal dari yang dijangkakan sebelum tahun 2030. Dengan sumber hasil bumi di Sarawak, tidak mustahil perkara ini dapat dilakukan, dengan syarat kerajaan mesti amanah, jujur serta tidak melakukan penyelewangan serta tidak menyalahgunakan kuasa mereka.


Sayangnya pemimpin di Sarawak kaya tetapi rakyatnya masih hidup dalam kemiskinan dan kesusahan akibat salah urus dan banyak berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Harapan rakyat Sarawak ingin perubahan akan tercapai sekiranya rakyat Sarawak sendiri ingin mengubah nasib diri mereka sendiri.


Inilah masanya untuk rakyat Sarawak kena fikir, kalau mahu perubahan yang lebih baik, perlu adanya usaha dari rakyat sendiri kerana, kuasa untuk mengubah ada di tangan mereka sendiri, seperti ayat yang terdapat dalam Al Quran yang kira-kira bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” Surah Ar-Ra'd (ayat 11)


Apabila rakyat Sarawak dapat memilih pemerintah yang lebih baik dan Sarawak diperintah oleh pemimpin yang jujur, amanah serta adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik maka Sarawak akan jadi lebih makmur dan menjadi negeri terkaya sebelum tahun 2030. Insya-Allah.

No comments: