(Nota Utara, Harakah)
Ramalan bahawa pilihanraya umum ke 13 akan berlaku pada bulan November 2011 sudah berlalu. Ramalan bahawa PRU13 akan berlaku pada Mac 2012 pun berlalu juga nampaknya.
Ramalan terbaru yang sangat popular ketika ini ialah awal bulan Jun tahun ini. Hampir kesemua PRU di negara ini diadakan ketika cuti penggal sekolah kerana sebahagian besar tempat mengundi dan mengira undi adalah di sekolah, jadi rutin persekolahan tidak terganggu sewaktu cuti.
Faktor terpenting untuk berlakunya PRU di Malaysia ialah waktu di mana parti pemerintah (BN) dijangka mampu menang. Hari ini sudah tidak banyak negara dalam dunia yang menjadikan tarikh pilihanraya sebagai bahan spekulasi. Segelintir negara, yang termasuklah Malaysia itu, kebanyakannya adalah negara yang sangat primitif amalan demokrasi dan diperintah oleh kerajaan separa diktator.
Adakah jika PRU diadakan bulan Jun maka BN akan menang besar atau sekurang-kurang mereka terus berkuasa di Pusat? Ia bergantung kepada kajian professional yang mereka lakukan.
Sejak pembentangan Bajet 2012 tahun lalu, hingga ke saat ini BN telah berhabis-habisan menabur umpan untuk mendapat sokongan rakyat. Berbillion wang rakyat telah digunakan untuk 'membeli' sokongan rakyat.
Bekas Menteri BN, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir mendedahkan bahawa BN menang selama ini dengan membeli sokongan. Maka sejarah bakal tercatat bahawa pembelian sokongan rakyat untuk PRU13 ini adalah yang termahal dalam sejarah Malaysia.
Selepas BN menghamburkan wang yang banyak kepada rakyat maka, tahap sokongan akan dinilai sebelum Parlimen dibubarkan atau tidak. PRU12 lalu juga Parlimen dibubarkan selepas Datuk Abdullah Badawi mendapat isyarat bahawa BN akan menang dua pertiga. Tapi keputusan PRU12 lalu tidak menunjukkan seputusan seperti kajian yang dilakukan. Kononnya peralihan sokongan dari BN ke PR sebanyak lima peratus berlaku selepas Parlimen dibubarkan. Pengalaman ini sangat menakutkan BN untuk menghadapi PRU kali ini kerana pergerakan sokongan rakyat Malaysia hari ini tidak seperti dua dekad lalu. Ia berubah-ubah dengan pantas macam pergerakan di bursa saham. Sebabnya dalam dunia tanpa sempadan hari ini, maklumat juga boleh sampai kepada rakyat dengan pantas.
Faktor perubahan segera selepas Parlimen dibubarkan juga berlaku kerana penyerlahan semasa kekuatan pembangkang di akar umbi yang mengubah mood rakyat. Dalam situasi yang ada sekarang, dalam suasana demokrasi primitif, mood rakyat seolah-olah ditentukan sepenuhnya oleh parti yang memerintah. Dengan penguasaan terhadap jentera kerajaan dan media, sekarang BN dilihat mendapat sokongan besar dan pembangkang dipamerkan sudah hampir berkubur. Pembangkang yang ketinggalan jauh dalam aspek logistik buat masa ini hanya mampu melihat dengan mata putih akan kelebihan BN itu.
Sebaik Parlimen dibubarkan, kekuatan akar umbi pembangkang atau PR pula akan terserlah secara mendadak. Seluruh ahli-ahli dan penyokong PAS akan menghurung markaz macam kelkatu. Tenaga sukarelawan ini akan muncul dengan banyaknya bermula dari profesional di menara gading hinggalah ke petani kampung di pedalaman. Kumpulan senyap yang selama ini menyorok sokongan di atas faktor kepentingan tertentu pada masa itu tidak akan menyorok lagi. Sekalipun masih tidak setanding dengan kekuatan logistik BN yang menyalahgunakan jentera kerajaan tetapi situasi itu mampu mengubah mood rakyat. Maknanya situasi selepas Parlimen dibubarkan akan berbeza dari suasana semasa ketika ini.
Lagi faktor yang menakutkan BN selepas Parlimen dibubarkan ialah penentuan calon. Sekarang, jika kajian dilakukan maka semua ahli parti komponen BN akan menyokong BN dan menolak PR. Selepas calon diumumkan, ahli parti komponen BN itu mungkin akan terus menyokong BN cuma undi untuk calon BN saja yang tidak diberi, sebab calon bukan dari kroni mereka. Apa erti sokongan tanpa undi? Sabotaj terhadap calon BN oleh ahli parti sendiri dijangka meningkat sekali ganda dalam PRU13 berbanding PRU lalu. Ia bakal jadi penyebab utama berkuburnya BN untuk PRU kali ini.
Macam biasa setiap PRU akan ada pemimpin yang tersingkir dari parti apabila tidak terpilih sebagai calon. Situasi kali ini lebih mencabar BN kerana bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 Tengku Razaleigh Hamzah bertekad akan terus jadi calon, walaupun ada ura-ura bahawa UMNO akan menyingkirkannya kerana beliau sudah jadi 'duri dalam daging' dalam UMNO. Himpunan golongan yang tersingkir akan membentuk kekuatan baru untuk menyanggah UMNO. Ku Li dan Kadir Sheikh Fadzir berganding dalam NGO bernama AMANAH yang bakal menjadi ancaman kepada BN. Mereka akan berkempen habis-habisan menjatuhkan BN.
BN sudah mengalami tahap perpecahan yang sangat kompleks kerana usia tuanya. Di samping konfik dalaman parti tidak terurus, konflik antara parti komponen juga dijangka tidak terbendung dalam PRU13 nanti.
BN pernah melalui pengalaman ditipu PBS apabila umum keluar BN selepas hari penamaan calon. Ketika itu BN sangat stabil, cuma PBS yang buat hal. Di zaman Najib ini MCA dan Gerakan semakin hilang kepercayaan terhadap BN. Sudah ada khabar angin bahawa sedang berlaku rundingan sulit antara DAP dan Gerakan. Parti-parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak pun tidaklah sesetia mana sekarang, lebih-lebih lagi setelah melihat keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang menunjukkan BN sudah hilang kekuatan. Parti-parti yang hilang kesetiaan terhadap BN ini akan keluar menyertai Pakatan Rakyat atau sekurang-kurangnya menjadi bebas (bebas dari BN atau PR). Tidak perlu semua parti komponen BN yang buat hal.. 4,5 parti dari Sabah dan Sarawak serta satu, dua parti dari Semenanjung sudah cukup menggugat BN. Siapa kata Najib tidak cemas menghadapi situasi ini?
Di pihak PR, dua bulan adalah masa yang terlalu singkat. Pembahagian kerusi dan penentuan calon sepatutnya sudah selesai. Bilik gerakan, jentera dan logistik sepatutnya sudah tersedia sepenuhnya. Semua tenaga seharusnya berada di medan perang sekarang.
Alhamdulillah nampaknya PAS mendahului rakan PR yang lain dari semua aspek untuk menghadapi PRU13. Rakan-rakan PR yang lain pun kena begitu juga. PRU13 adalah 'perang terbesar' di Malaysia sejak 10 dekad. Jadi persiapan pun kena paling besar kali ini.
No comments:
Post a Comment