Oleh Daing Yahya
Katanya, Utusan Malaysia dan juak-juak UMNO, lebih tepat lagi UMNO terkinja-kinja kegembiraan kerana mendapat ‘peluru emas’ untuk menembak pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat, khususnya DAP dan Lim Guan Eng sendiri.
Halnya bertolak dari isu tanah di satu kawasan yang telah gagal dibangunkan oleh kerajaan BN (Koh Tsu Koon).
Kemudian, setelah Pakatan Rakyat mengambil alih, maka kawasan ini akan dibangunkan, justeru proses pembangunan itu haruslah melalui proses yang sama sekali lagi, tetapi kali ini menerusi tender terbuka kepada semua kontraktor pemaju. Ini amalan rasmi kerajaan Pulau Pinang berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).
Akhirnya tender pembangunan di Bayan Mutiara ini telah dimenangi oleh pemaju tempatan. Isunya timbul apabila salah satu lot tanah dalam kawasan pembangunan Bayan Mutiara ini ‘dikatakan’ akan hilang. Tanah yang dimaksudkan itu ialah tanah untuk tapak sebuah masjid.
Kita harus membaca anatomi kes ini iaitu, setiap kawasan atau tanah yang akan dibangunkan, pastilah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan, dan syarat-syarat dalam perjanjian ini juga berdasarkan logik juga iaitu, mana-mana kawasan perumahan, wajiblah menyediakan prasarana asas. Prasarana ini termasuklah sekolah, masjid, rumah ibadat, klinik, balai polis, bomba dan lain-lain.
Jadi, jika kita membaca dan meneliti sekali lagi maklumat di atas, jelas bahawa apabila satu-satu pemaju telah mendapat hak untuk membangunkan kawasan tersebut, pastilah reka bentuk dan susun atur semua prasarana ini akan dipinda mengikut pelan baru yang dibentangkan oleh pemaju kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan juga kerajaan negeri.
Yang pasti, pemaju mesti ikut syarat membina masjid, sekolah, rumah ibadat bukan Islam dan sebagainya mengikut keluasan dan jumlah unit perumahan yang dibina. Itu undang-undang yang ada.
Justeru, pastilah ia berpindah, bertukar baik saiz, bentuk dan sebagainya, tetapi bukan hilang seperti dakwaan UMNO itu.
Berpindah maksudnya, mungkin akan dibina di kawasan B atau C dari tapak asalnya iaitu kawasan A. Begitu jugalah halnya dengan prasarana asas yang lain-lain itu. Bukankah sifir ini sangat mudah difahami olah manusia yang berakal waras?
Lihatlah bagaimana UMNO memanipulasikan maklumat dan menjadikannya fitnah seolah-olah tanah masjid itu telah hilang dan lenyap sama sekali. Inilah gaya propaganda UMNO yang semakin hilang sokongan rakyat, inilah bentuk mentaliti manusia yang meracau mahukan kuasa – niat menghalalkan cara.
Katanya … jika Koh Tsu Koon yang membinanya, pastilah projek-projek buat masjid ini akan diberi kepada kontraktor UMNO Pulau Pinang. Bukankah ini amalan rasmi UMNO? UMNO memang ramai penagih kontrak, dengan cara itulah mereka gunakan sebagai alat untuk terus berkuasa dan merembat harta rakyat atas nama Islam atau Melayu.
Katanya … kini juak-juak UMNO yang meracau itu hanya mampu melihat sambil meleleh air liur kerana pemerintahan Pakatan – DAP, PKR dan PAS – di Pulau Pinang tidak pernah menyalahgunakan wang zakat, wang baitulmal, wang tabung haji, wang amanah rakyat miskin tegar, malah peruntukan untuk pembangunan Islam di Pulau Pinang berlipat ganda dari sebelumnya, malah lebih besar dari peruntukan di negeri-negeri yang diperintah oleh UMNO sendiri.
Sedarlah diri, sebelum berkokok, pastikan ekor kamu (UMNO) tak bergelumang dengan tahi. Malah dosa mempermainkan agama bukannya kecil. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment