Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta maaf kepada jurugambar akhbar The Malay Mail,
Muhammad Arif Kartono yang mendakwa dirinya dikasari polis ketika
membuat liputan pada perhimpunan di Dataran Merdeka, Sabtu lepas.
"Polis minta maaf atas insiden yang berlaku. Dalam keadaan kekalutan dan
kelam-kabut polis tidak dapat membezakan antara peserta perhimpunan dan
media," katanya kepada Muhammad Arif, 23, yang ditemui semasa pertemuan
dengan media di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.
Semasa pertemuan itu, Ismail melihat sendiri kesan kecederaan di muka Muhammad Arif yang masih kelihatan lebam di wajahnya.
Muhammad Arif, yang memakai kemeja corak berkotak dan berseluar jeans,
bersalaman mesra dengan Ismail sebelum kedua-dua mereka mengambil gambar
bersama.
Sabtu lepas, Muhammad Arif cedera di muka dan anggota badan setelah
dikatakan dikasari polis ketika membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0
di Dataran Merdeka.
Polis berjaya mengekang tindakan liar peserta perhimpunan itu yang
ingkar perintah larangan Mahkamah Majistret untuk memasuki kawasan
Dataran Merdeka mulai 28 April hingga 1 Mei.
Larangan itu dikeluarkan setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak
membenarkan dataran itu dijadikan lokasi perhimpunan kecuali acara rasmi
peringkat nasional dan turut menawarkan lokasi alternatif tetapi
ditolak penganjur.
Selain Muhammad Arif, jurukamera TV AlHijrah, Mohd Azri Mohd Salleh
turut cedera dan menerima 15 jahitan di kepala akibat dipukul peserta
perhimpunan ketika jurukamera itu cuba melindungi anggota polis yang
juga dipukul oleh peserta terbabit.
Pada majlis yang sama, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh
menyarankan kepada media agar menggunakan pakian khas seperti "vest
media" untuk membezakan peserta perhimpunan dan pengamal media bagi
mengelakkan insiden tidak diingini pada Sabtu lepas.
Mohmad berkata insiden wartawan dan jurugambar dikasari bukan
disengajakan kerana keadaan ketika itu kelam-kabut serta sukar untuk
dikawal menjadikan pihaknya sukar membezakan antara orang awam dan
pengamal media.
"Saya rasa cara itu (memakai vest media) merupakan cara terbaik buat
masa ini kerana pihak polis boleh membezakan antara media dan peserta
perhimpunan sekiranya berlaku tindakan di luar kawalan," katanya.
No comments:
Post a Comment