Wednesday, May 9, 2012

HANIF OMAR KA!!! Baik lantik Najib terus ketuai panel bebas yang tak bebas



Bersih 3.0: Haniff tak sesuai ketuai panel bebas

TEMERLOH, 9 Mei: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap pelantikan Tun Haniff Omar sebagai ketua panel siasatan bebas menangani perhimpunan Bersih 3.0 adalah tidak sesuai sama sekali.
Katanya, ini disebabkan latar belakang Haniff sendiri sebagai bekas Ketua Polis Negara sedangkan penyiasatan menjurus kepada dakwaan insiden kekasaran oleh pihak polis ketika perhimpunan aman tersebut pada 28 April lalu.

“Lagipun beliau sendiri sudah membuat kenyataan bias sebelum ini mengatakan perhimpunan Bersih mahu menggulingkan kerajaan dan disertai komunis 1970-an.

“Jadi dengan kenyataan kontroversi yang sejak awal-awal lagi, mana mungkin mampu mendapatkan penyiasatan yang adil, telus dan berwibawa,”
tegasnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein petang ini pelantikan enam ahli panel penasihat bebas yang diketuai Hanif untuk menyiasat dan melaporkan kejadian sebenar ketika perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.


Ahli-ahli lain ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian, Datuk Husammuddin Yaacub; Penasihat Undang-undang Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Ruszmi Ismail.


Kerajaan dipercayai terpaksa melantik panel tersebut dipercayai berikutan menerima tekanan pelbagai pihak yang menyaksikan keganasan polis menangani lebih 200,000 rakyat yang berhimpun menuntut keadilan.


Namun demikian, perhimpunan menuntut 8 pembaikan dalam pilihan raya itu cuba dipusingkan dengan mengaitkannya sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan.


Tuan Ibrahim berkata, seelok-eloknya dilantik bekas hakim atau bekas Peguam Negara atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri sudah memadai dengan ditambah kuasa penyiasatan.


“Jadi dengan pelantikan tersebut saya percaya masyarakat masih belum melihat ada panel yang betul-betul bebas bagi menyiasat keganasan polis pada hari tersebut terhadap rakyat yang menuntut pilihan raya yang adil,” jelasnya.


Beliau mengingatkan, ketika peristiwa mata lebam Anwar Ibrahim dulu juga dilantik panel penyiasat di kalangan polis untuk menyiasat polis tetapi tidak ditemui. Tetapi selepas dilantik Suruhanjaya Diraja barulah ditemui yang membelasah Anwar ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor.


Mengenai durian runtuh yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Jengka 8 semalam, Tuan Ibrahim berkata jumlah yang ‘runtuh’ itu, iaitu RM5,000 diberi tunai dan RM10,000 dalam dua fasa lain tidaklah sehebat pada sangkaan awal.


“Pada mulanya kita ingatkan peneroka betul-betul akan tersandar dan tertiarap kerana terkejut dengan pengumuman macam dari langit itu. Kalau setakat RM5,000 itu, sekali peneroka jual hasil sawit pun dapat banyak tu.


“Lagipun wang peneroka sudah banyak yang tersangkut pada Felda antaranya penipuan kadar perahan gred (KPG), wang tabung tanam semula (TTS) yang belum dikembalikan, ses, isi rong dan banyak lagi.


“Di sini juga PAS mahu kerajaan dan Felda turut mempertimbangkan agar bonus dua bulan setengah gaji yang diperolehi oleh kakitangan Felda seperti diumumkan, supaya turut diberi kepada bekas kakitangan yang kini berpencen kerana mereka juga telah berjasa besar,” katanya.


Tuan Ibrahim mengingatkan, jika tidak dengan tawaran Pakatan Rakyat dan perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka (Anak) yang begitu gigih memperjuangkan nasib peneroka tidak mungkin Najib mengumumkan durian runtuh itu.


Beliau juga mengingatkan masih banyak janji kerajaan di kalangan peneroka masih belum tertunai antaranya pembesaran jalan raya Kampung Awah ke Jengka dan menaik taraf loji air ketika janji semasa pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dulu. -HD

BERSIH: Haniff Omar ketuai panel siasatan

Bekas ketua polis negara Tun Haniff Omar dilantik mengetuai panel bebas bagi menyiasat dakwaan insiden kekasaran oleh pihak polis ketika menangani perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Dilaporkan panel itu akan disertai enam anggota termasuk bekas hakim, wakil media dan ahli akademik.

Beliau baru-baru ini mencetuskan konstroversi apabila mendakwa pihak yang simpati terhadap komunis dan aktif sebagai peserta demonstrasi sekitar 1970-an terlibat dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata, terma rujukan panel itu akan ditetapkan dalam tempoh beberapa hari lagi dalam mesyuarat pertamanya.

Anggota lain panel itu termasuklah:

* Bekas ketua hakim Borneo Tan Sri Steve Sim.
* Editor Pengurusan Sinar Harian Datuk Hussamuddin Yaacub.
* Penasihat undang-undang Media Chinese International Liew Peng Chuan.
* Pengurus besar kanan hal ehwal korporat Petronas Datuk Medan Abdullah.
* Ahli psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata panel penasihat ini akan mengadakan mesyuarat pertama mereka secepat mungkin untuk menentukan terma rujukan serta peranan mereka.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sekali lagi memberikan penekanan kepada keperluan untuk mempertahankan keluhuran undang-undang, konsisten dengan pendirian kerajaan dalam mencari kebenaran, keadilan serta pembelaan kepada semua pihak.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan agar panel penasihat bebas ini dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas, serta bahan bukti berkenaan kejadian rusuhan itu," katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat bangunan Kementerian Dalam Negeri.

Menurutnya pada masa yang sama, polis akan terus dengan siasatan mereka berhubung kejadian rusuhan itu, dan mengemukakan hasilnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Hishammuddin berkata panel itu akan diberikan kebebasan dalam pelbagai aspek, termasuk soal tempoh masa, serta pihak yang akan dirujuk bagi membantu siasatan mereka.

Katanya beliau ada mendengar syor sesetengah pihak untuk mendapatkan bantuan kepakaran pihak luar, contohnya jabatan polis New York atau polis United Kingdom bagi membantu siasatan, namun menurutnya akhirnya ia terpulang kepada keputusan panel berkenaan.

"Harapan kita adalah untuk orang ramai ketahui apa yang sebenarnya berlaku, hari ini ada bermacam-macam saluran, banyak tuduhan dan ada kecenderungan pihak tertentu hanya melihat kepada satu aspek sahaja terhadap apa yang berlaku pada hari itu, jadi cerita menyeluruh mesti dikemukakan panel ini.

"Kalau ia dikemukakan pihak Kementerian Dalam Negeri atau polis, mungkin ada pihak yang dah begitu prejudis, hingga apa yang kita cakap pun mereka tidak akan percaya, jadi panel ini ditubuhkan bagi tujuan itu," katanya.

Hishammuddin berkata penubuhan panel itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang merasakan menjadi mangsa pihak tertentu pada hari kejadian, dan merasakan seolah-olah tidak ada saluran yang telus untuk mendengar luahan serta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku.

Katanya beliau percaya anggota panel itu cukup diyakini untuk memuaskan hati semua pihak.

Beliau berkata pada pandangannya penemuan panel itu juga dapat membantu kerajaan untuk melihat ke hadapan, khususnya dengan penampilan rang undang-undang berhubung perhimpunan aman, hasil transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Insiden seperti ini boleh membantu kami merangka masa depan, saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, ini peluang untuk meneliti dan melihat ke hadapan bagi memastikan bagaimana undang-undang sedia ada dapat diimbangi antara keperluan kebebasan dan hak asasi, dengan keselamatan negara," katanya.
-mk


Ulasan GB

Jika awal-awal lagi sebelum dilantik anggota panel bebas, bekas KPN itu telah membuat kenyataan yang berpihak kepada polis), bagaimana boleh dikatakan panel itu panel bebas?

Samalah seperti J/K Panel Khas Parlimen Mengenai Pilihanraya & Lynas, semuanya "wayang" Najib untuk menipu rakyat.

Betul-betul rakyat cuba diperbodohkan lagi.Kelab Greenboc

1 comment:

Anonymous said...

ek ele...boleh ker percaya ngan panel tak bebas nie..belum aper2..dah tertonggok kepala yg diatas(pengerusi) yg bias....apalagi yg bawah..kalu ajk kecik yg tak bebas tak per ler....sbb kener dgr cakap pengerusi......ini samalah keadaan mcm
pengerusi SPR dan timbalannyer kini....dahla perangai mcm ahli UMNO/BN.....maka tak ader org boleh nak meanruh keprcayaan langsunglah.....hampeeehhhh