Thursday, May 31, 2012

HIMPUNAN BELIA!!! Pemimpin UMNO terkinja-kinja lebih dari anak muda


KUALA LUMPUR: Himpunan Jutaan Belia yang berakhir pada Ahad lepas 27 Mei menyaksikan berbagai-bagai suka, duka, gelagat dan aksi belia-belia negara sepanjang program itu berlangsung di Putrajaya.

Himpunan yang diadakan saban tahun, dan untuk kali ini sambutan itu agak luar biasa dengan pelbagai program yang disajikan kepada anak muda selama lima hari berturut-turut bermula 23 Mei.

Banyak program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, di mana kebanyakannya memenuhi citarasa anak muda hari ini apatah lagi program berbentuk hiburan dan sukan.

Tinjauan Harakahdaily pada Sabtu lepas, kehadiran anak muda belasan tahun cukup mengagumkan dengan bermacam-macam aksi dan gelagat mereka. Terkinja-kinja, terjerit-jerit pendek kata semua gelagat ada di sana.

Di tambah pula suasana hingar-bingar dengan tiupan terompet mini (gambar) hampir kesemua orang ramai yang hadir. Terompet yang dibeli dengan harga RM5 setiap satu, ada warna merah, biru dan kuning.


Terdapat sekumpulan anak muda mengenakan 't-shirt' putih dan merah yang tertera '1 love PM', tidak kurang hebat juga anak muda Belia 4B yang rata-rata wujud di segenap ruang di himpunan itu.

Belia 4B pula menawarkan orang ramai menaiki beca berhias dengan dikenakan caj RM10 untuk dua orang, difahamkan mereka mencari dana tambahan.

Tidak kurang hebatnya, anak gadis yang mengenakan pakaian menjolok mata, berseluar pendek hingga ke pangkal paha dengan betis putih melepak bagaikan bunting padi menarik perhatian belia lelaki.

Apa yang menarik perhatian wakil Harakahdaily, seorang anak muda tanpa rasa bersalah 'mengambil' basikal yang disewanya daripada pihak penganjur himpunan.

Ketika terserempak, anak muda itu sedang menunggu sekumpulan kawannya yang turut sama membawa balik basikal yang disewa RM5 untuk dua jam.

"Ambil je, basikal ini. Hari ini hari belia, sayakan belia jadi basikal ini untuk belia. Tak salah kan? Ramai lagi kawan-kawan saya yang ambil bawa balik rumah," katanya sebaik sahaja wakil Harakahdaily mempersoalkan perbuatannya itu.

Malah anak muda itu, pula mengajak wakil Harakahdaily untuk sama-sama 'kebas' basikal yang dianggarkan berharga tidak kurang RM500.

"Banyak lagi basikal yang disediakan. Ambil je...ramai yang buat macam itu," katanya yang meminta diri berlalu dengan sekumpulan kawannya.

Banyak 'booth' dibuka untuk orang ramai daripada kementerian-kementerian sehinggalah 'booth' jualan syarikat telekomunikasi sehinggalah 'booth' usahawan tempatan.

Dalam tinjauan itu, Harakahdaily tertarik dengan 'booth' Umno Pembela Rakyat. Kelihatan beberapa wanita yang berada di gerai itu tidak menang tangan melayan orang ramai mengisi borang keahlian Umno.

Harakahdaily cuba mendekati, orang ramai memenuhi 'booth' sedang mengisi borang keahlian, mereka yang siap mengisi akan diberi cenderahati 'keychain' dan 'button' Umno.

Selain itu, di 'booth' yang sama kelihatan tiga orang wanita Umno sedang giat mengedarkan buku 'Bersih 3.0 yang kotor' kepada pengunjung himpunan.

Lebih menarik perhatian, Umno turut menghidangkan kuiz kepada orang ramai dengan soalan-soalan yang berkaitan pertubuhan itu, mereka yang berjaya menjawab soalan dengan tepat akan dihadiahkan hamper. Soalan diajukan oleh seorang pelawak Osman Kering yang cukup menarik perhatian pengunjung.

Lebih mengujakan dan dinanti-nanti belia sudah tentu hiburan, dengan konsert artis luar negara yang sedang digilai anak muda 'K-pop' di tambah pula tidak kurang hebatnya konsert rock dari artis tempatan.

Bukan sahaja, anak muda yang teruja. Pimpinan negara pun turut sama dengan barisan belia 'meraikan' artis K-pop dan menjerit-jerit menyantuni artis tempatan.  

Justeru, apa yang disusun atur oleh Kementerian Belia Sukan dalam Himpunan Sejuta Belia tempoh hari, itulah yang disukai malah dicari-cari oleh belia pada hari ini. Belia dengan hiburan sukar untuk dipisahkan.

No comments: