Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Pas,
Salahuddin Ayub berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu hanyalah
satu manifestasi terhadap kebimbangan Umno dan BN menjelang PRU13.
"Mahathir telah menyatakan kami tak yakin menang dalam PRU13 akan
datang adalah satu tanggapan yang salah dan itu hanya ingin menutup
kerisauan pada ahli Umno dan BN sendiri," kata Salahuddin lagi ketika
dihubungi Sinar Harian Online.
Kelmarin, Dr Mahathir dipetik berkata, pembangkang jelas tidak
mempunyai keyakinan untuk menang dalam PRU13 menyebabkan mereka
melemparkan pelbagai tuduhan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa
kerajaan sedia ada zalim dan perlu digulingkan.
Dr Mahathir berkata, pembangkang sudah banyak kali berdepan dengan
kekalahan malah sejak negara ini merdeka, mereka tidak pernah menang di
peringkat pusat.
"Sebab itu mereka mahu bersedia, kalau kalah kali ini (PRU13), mereka
akan cetuskan huru-hara, buat demonstrasi dan desakan yang kononnya
kerajaan menipu untuk menang.
"Ini memang pendekatan pembangkang yang bertujuan menjatuhkan kerajaan
melalui demontrasi, bahkan Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik
Aziz Nik Mat) sendiri turut mengatakan bahawa demontrasi ini halal,"
katanya.
Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian
berkata, masyarakat sudah lebih celik politik dan dapat menilai
pemerintah yang layak dalam mengemudi negara ke arah yang lebih baik
seperti yang dituntut Bersih 3.0.
"Kebangkitan rakyat yang ditunjukkan melalui perhimpunan Bersih 3.0
yang berkumpul tanpa mengira kaum pada April lalu jelas menggugat dan
memberi ancaman kepada Umno," kata Salahuddin.
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dianjurkan oleh NGO, didakwa dihadiri lebih
seratus ribu orang dari seluruh pelusuk negara telah mengundang
pelbagai reaksi ekoran insiden ganas.
"Kami telah meminta untuk ditubuh satu pasukan suruhanjaya bebas bagi
menyiasat siapa dalang di sebalik insiden tersebut dan masyarakat boleh
menilai sendiri melalui video yang dirakam dan muat turun dalam
mana-mana laman sosial," tambah Salahuddin lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw
berkata, "kita tidak tahu siapa yang akan menang dalam PRU13 nanti
sehingga semua undi dikira dan diumumkan kepada semua."
"Mahathir tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu dan beliau
hanya memperlihatkan kebimbangan Umno dalam meraih undi dalam PRU13 akan
datang.
"Jika benar Umno tidak bimbang mengapa Parlimen masih belum
dibubarkan sehingga hari ini dan jika masih mencari masa yang sesuai,
Umno akan menjadi seperti telur di hujung tanduk," kata Seng Giaw yang
juga Ahli Parlimen Kepong.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua juga melahirkan pandangan yang seiring dengan rakannya.
"Saya merasakan kenyataan Mahathir adalah tidak berasas dan tidak
mempunyai bukti kukuh mengaitkan demonstrasi Bersih 3.0 sebagai cara
untuk menjatuhkan kerajaan.
"Manakala usaha memburukkan imej polis adalah satu klasifikasi yang
jauh berbeza dengan untuk menggulingkan kerajaan," kata Ahli Parlimen
penggal pertama ini.
"Suruhanjaya Pilihan Raya haruslah telus dan adil dalam setiap PRU dan
menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan betul, serta mereka
perlulah bebas dari mana-mana badan politik.
"Kewujudan perhimpunan
Bersih bukanlah bertujuan untuk meraih undi dan menjadikannya sesuatu
yang boleh menggugat keamanan negara tetapi adalah untuk menuntut lapan
perkara yang disebutkan sebelum ini," tambah wakil rakyat kawasan Batu.
1 comment:
ek ele...jgn dilayan org tua giler nie....sajer nak psycholah tu...nak alih isu....tapi dia bukan giler kuasa...tapi giler nak berkuasa.....hampeeehhhhh
Post a Comment