SHAH ALAM - Selepas spekulasi lebih setahun, mengambil kira ucapan Datuk
Seri Najib Tun Razak pada sambutan ulang tahun Umno ke-66 kelmarin,
teka-teki terbaru menyebut Perdana Menteri akan menghadap Yang
di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, esok, untuk
mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen.
Malah, laporan-laporan blog dan SMS disebar luas mengatakan Parlimen
akan dibubarkan Selasa ini manakala penamaan calon akan berlangsung pada
26 Mei dan diikuti dengan tarikh pengundian pada 9 Jun - dengan tempoh
berkempen selama 14 hari.
Ramalan itu turut mengambil kira cuti sekolah dua minggu bermula 28 Mei.
“Berdasarkan maklumat yang saya terima, Perdana Menteri akan bubar
Parlimen Isnin,” kata seorang pemimpin kanan parti komponen kepada Sinar
Harian, semalam.
“Nampak gaya Perdana Menteri lebih yakin ekoran sambutan diberikan oleh ahli-ahli Umno,” katanya lagi.
Ketika ditanya Najib akan berada di United Kingdom dan Amerika Syarikat
untuk menghadiri majlis konvokesyen dan kemudian bercuti, pemimpin itu
menambah, “itu satu rutin, ini perkara lebih penting.”
Apabila diajukan soalan yang sama, Timbalan Pengerusi Kelab
Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional di Parlimen, Datuk Bung
Moktar Radin berkata, pihaknya kini berada di paras “cukup bersedia”
untuk menghadapi PRU13.
“Saya tidak terkejut jika Parlimen dibubarkan minggu depan, apa pun
keputusan akhir di tangan PM,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen
Kinabatangan.
Beliau yang turut menghadiri sambutan ulang tahun ke-66 di Stadium
Nasional Bukit Jalil berkata, mesej perhimpunan kali ini menunjukkan
“pilihan raya sudah semakin dekat.”
“Memang pilihan raya sudah dekat. Hanya tunggu untuk mendengar semboyan PRU,” katanya lagi.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, “berdasarkan
apa yang saya dapat lihat semalam, nampaknya Umno kini sudah bersedia.”
Ibrahim juga berkata beliau tidak hairan jika Najib, selaku Pengerusi BN memutuskan untuk membubarkan Parlimen minggu ini.
Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang seiring
dengan pandangan beliau pula berkata: “PRU13 akan diadakan sebelum
Ramadan... awal bulan Jun.”
Bagaimanapun Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku
Jaafar melihat mesej bahawa Najib akan menghadap Agong “hanya satu
gurauan”.
“Apapun gurauan ini juga boleh menjadi realiti (diadakan PRU13 lebih
awal), apapun boleh terjadi,” kata pemimpin dari Sarawak itu.
Menurut Wan Junaidi, selepas menyelesaikan siri isu dan masalah, Najib
mempunyai satu lagi perkara penting untuk ditangani iaitu projek nadir
bumi Lynas di Pahang.
“Saya fikir Najib mahu menyelesaikan kesemua masalah yang ada dengan
baik. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hanya akan membentangkan
laporan pada awal Julai ini... jadi, saya fikir paling cepat pun awal
pada Julai sebelum Ramadan atau selepas Aidilfitri, sekitar September,”
kata beliau.
sumber SInar Harian
sumber SInar Harian
2 comments:
ape tindakan kerajaan terhadap tuntutan BERSIH?
prove dat in this coming election is d dirtiest ever...
Ramalan kelabu asap....!!!! Nujum main belakang punye ramalan ke???
Hahahahahahaha
Post a Comment