ULASAN Pada 30 Mei 2012 yang lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan
dengan skandal penjualan dokumen sulit pertahanan negara, iaitu
penilaian Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) terhadap kapal selam
kelas Scorpene, didakwa telah “dibeli” oleh sebuah syarikat pertahanan
Perancis.
Laporan yang didedahkan oleh peguam Perancis, Joseph
Breham, yang mewakili pertubuhan hak asasi manusia, SUARAM, mendakwa
syarikat berkenaan telah membayar €36 juta (RM142 juta) kepada Terasasi
(Hong Kong) Ltd, dikatakan untuk kerja-kerja "kejuruteraan komersial".
Dokumen
rahsia oleh TLDM tersebut adalah satu penilaian untuk tempahan kapal
selam berkenaan, yang merupakan laporan yang sangat sulit dan
memungkinkan keselamatan pertahanan negara tergugat jikalau jatuh ke
pihak musuh.
Oleh kerana pihak-pihak yang bertanggungjawab -
termasuklah Datuk Sri Najib Razak, yang merupakan Menteri Pertahanan
pada waktu itu - masih belum memberikan jawapan yang memuaskan mengenai
hal ini, pada 7 Jun lalu saya telah memfailkan satu usul tergempar agar
Dewan Rakyat dapat membincangkan hal penjualan rahsia pertahanan negara,
yang merupakan satu tindakan khianat tertinggi terhadap kedaulatan dan
kepentingan Malaysia.
Penolakan usul ini oleh Speaker pada pagi
semalam tidak memungkinkan perbahasan dilaksanakan bagi mendesak
kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan
memberi penjelasan sebaiknya bagi membersihkan nama mereka, menjelaskan
peranan Terasasi (Hong Kong) Limited yang selama ini tersorok daripada
pengetahuan umum dan memperbaiki imej Malaysia yang tercalar angkara
kontroversi ini.
Alasan yang digunapakai oleh Speaker menggunakan
Peraturan Mesyuarat 23 1. (h): sesuatu pertanyaan itu tidak boleh
dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau hendak
mendapat penyelesaian berkenaan dengan perkara undang-undang yang belum
menjadi masalah atau kerana hendak mendapat jawab dalam perkara yang
dimisal-dimisalkan sahaja.
Jelas bahawa masalah yang menjadi
persoalan dalam usul yang saya bawa ini bukan sekadar perkara
undang-undang yang belum menjadi masalah ataupun perkara yang
dimisal-misalkan sahaja. Masalah berkait dengan pembayaran komisyen
bernilai Euro 36 juta oleh syarikat pertahanan Perancis Thint Asia
kepada Terasasi (Hong Kong) Limited ini, yang mempunyai dua orang
Pengarah iaitu Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda untuk
sesalinan laporan penilaian rahsia Pertahanan Tentera Laut Diraja
Malaysia. Maklumat ini kita perolehi menerusi Joseph Breham, peguam
SUARAM yang merujuk kertas siasatan dokumen rampasan polis Perancis dan
badan kehakiman Perancis.
Kedua, usul yang dibawa bukan sekadar
untuk meminta buah fikiran daripada kerajaan, tetapi menuntut
penjelasan, sehaluan dengan apa yang telah dibangkitkan oleh Ahli
Parlimen Malta Evarist Bartolo dalam sidang parlimen Malta 5 Jun lepas.
Ketiga,
tanggungjawab kerajaan Malaysia tidak boleh dilangsaikan apabila
dakwaan rasuah yang melibatkan pelbagai negara khusus dalam operasi
anti-rasuah yang melibatkan Malaysia-Perancis-Pakistan-Malta-Luxembourg
dan Hong Kong.
Tambahan lagi, Malaysia sudahpun meratifikasi
konvensyen United Nations Convention Against Corruption. Justeru,
Malaysia tidak boleh lari daripada tanggungjawab membantu membawa mereka
yang bersalah ke muka pengadilan, lebih-lebih lagi dalam kontroversi
pembayaran rasuah untuk pembelian senjata yang melibatkan Perdana
Menteri kita sendiri.
Keempat, kenyataan Menteri Pertahanan yang
disiarkan pada 8 Jun 2012 jelas menunjukkan wujudnya elemen yang
mencurigakan bila beliau mengakui kewujudan dokumen pertahanan sulit
dalam kenyataan berikut, walau pihak beliau tidak menerima sebarang
maklumat berhubung penjualan dokumen rahsia:
“Bagaimanapun, memang ada dikesan maklumat itu keluar (dari Malaysia) namun kita sedang memantau perkembangannya.”
Manakala
yang paling parah, Perdana Menteri yang merupakan Menteri Pertahanan
dalam penjualan kapal selam Scorpene masih membisu seribu bahasa.
Akhir kata, kami akan meneruskan usaha membawa isu penjualan rahsia kerajaan ini menerusi:
1)
Laporan-laporan polis yang dibuat oleh Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM) dan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia di seluruh Malaysia.
2) Memorandum yang disertai oleh Kelab Kebajikan Veteran & Pesara
Tentera (KERABAT) dan Majlis Rundingan Keselamatan Keadilan menuntut
penjelasan dan siasatan terhadap isu ini termasuk mengeluarkan KERTAS
PUTIH kepada Perdana Menteri kerana jawapan Menteri Pertahanan tempoh
hari bahawa siasatan akan hanya dibuat jika terbukti aktiviti menjual
rahsia itu berlaku dan dalam nada yang sama pula mengatakan bahawa sudah
pun dikesan maklumat itu telah dikeluarkan dan sedang dipantau; amat
mengelirukan.
Mungkin Parlimen menolak usul ini tetapi saya
percaya Perdana Menteri tidak akan menghampakan rakyat dan akan
menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya demi keselamatan negara
termasuk keselamatan nyawa-nyawa anggota tentera dari diancam akibat
angkara khianat menjual rahsia negara.
No comments:
Post a Comment