Sekumpulan wakil rasmi Mongolia yang ditugas untuk mengendalikan kes
pembunuhan Altantuya Shaariibu dijangka hadir ke Malaysia Ogos ini, kata
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.
“Mereka akan tiba pada bulan Ogos, cuma tarikh yang tepat belum tahu
kerana Mongolia baru saja mengadakan pilihan raya dan belum ada kerajaan
lagi,” jelasnya.
“Saya berharap kes ini dapat diselesaikan dengan cepat, sudah enam
tahun keluarga mangsa (Altantuya) menanti penyelesaian. Saya yakin bukan
hanya saya yang berharap begitu, malah seluruh rakyat antarabangsa yang
simpati pada nasib mendiang juga,” kata beliau lagi.
Menurut Gwo Burne, bapa Altantuya, Setev Shariibuu beberapa kali
meminta kerajaan Malaysia menyelesaikan kes itu secepat mungkin, namun
tidak mendapat respon apabila kes rayuan ditangguh ke Oktober.
“Ada baiknya wakil Mongolia datang sendiri ke sini, kalau harapkan
kerajaan Malaysia, lima tahun pun belum tentu boleh selesai,” katanya.
“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita patut tunjukkan simpati
dan ambil berat untuk membantu mereka mencari keadilan,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Konsular Kementerian Luar Negara dan Perdagangan
Mongolia, G Gankhuyag menyatakan bahawa, kerajaan Malaysia lembap dalam
mengendali kes pembunuhan Altantuya.
Kenyataan itu dipetik dalam satu
wawancara dengan laman web Mongolia dan didedahkan Gwo Burne dalam satu
sidang media 28 Jun lalu.KeadilanDaily
No comments:
Post a Comment