Tuesday, July 31, 2012

TERKENA KELONGSONG GAS PEMEDIH MATA!!! Kerajaan bayar ganti rugi RM 150 Ribu kepada seorang peniaga yang buta mata kanan

KOTA BHARU - Seorang peniaga yang mata kanannya buta akibat terkena kelongsong gas pemedih mata semasa rusuhan perlawanan bola sepak di luar Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada 2009, hari ini mendapat ganti rugi RM150,000.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan jumlah ganti rugi itu selepas mendapati plaintif, Muhammad Huzaifah Muhd Noor, 22, berjaya membuktikan kecederaan parah di mata kanan yang dialaminya adalah akibat terkena tembakan peluru gas pemedih mata yang dilepaskan pihak defendan atau ejen-ejennya.



Beliau berkata, selain keterangan daripada saksi pihak plaintif, rakaman video oleh seorang saksi bebas yang juga penonton  perlawanan bola sepak itu,  menunjukkan berlakunya tembakan peluru gas pemedih mata ke arah gerai plaintif.

Berdasarkan rakaman itu, plaintif rebah sejurus tembakan itu dilepaskan dan beliau kemudian dipapah oleh orang ramai.


Bagaimanapun, Hakim Ahmad Zaidi berkata pihak defendan yang hadir di tempat kejadian bukan bertujuan untuk mencederakan plaintif tetapi untuk menyuraikan rusuhan yang  berlaku selepas perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Negeri Sembilan itu.


Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM20,000.


Pada 6 Ogos 2009,  Muhammad Huzaifah menamakan pegawai Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ASP M.Sathasivam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.


Plaintif menuntut rugi am, ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM10 juta selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Plaintif diwakili peguam Marwaliz Mahmud manakala kesemua defendan oleh Peguam Persekutuan Rohaiza Zainal.


Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Huzaifah dari Kampung Pasir Tok Kambing di sini, yang ditemani isterinya Ibnati Solihatul Nuri  Mat Taib, 22, berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu setelah menunggu sekian lama. - Bernama

No comments: