Bekas
pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Datuk Ramli Yusuff
akan menyertai PAS dalam masa terdekat, kata naib presiden parti itu
Salahuddin Ayub.
Menurutnya, beberapa
perbincangan telah berlangsung antara PAS dan Ramli berhubung perkara
itu dan perkembangan terbarunya juga "sangat positif".
"Dalam masa terdekat pengumuman
akan dibuat pimpinan tertinggi parti atau beliau (Ramli) sendiri,"
katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.
Ketika dihubungi Malaysiakini
petang semalam, Salahuddin berkata, PAS amat mengalu-alukan kemasukan
Ramli yang dilihat mempunyai dorongan kuat untuk memperjuangkan
kebenaran.
"Bukan mudah untuk seorang bekas pegawai polis berprofil tinggi seperti beliau membuat keputusan menyertai PAS," katanya.
Sebelum ini, bekas pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari turut menyertai
PAS, yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha parti Islam itu
merekrut ahli daripada pelbagai latar.
Pengumuman dijangka Ogos atau September
PAS juga dilihat sedang aktif
menerima kemasukan kumpulan selebriti seperti pelakon Abby Abadi,
Hairie Othman dan penyanyi Aishah yang jarang-jarang berlaku sebelum
ini.
Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim sewaktu dihubungi Malaysiakini turut
membayangkan seorang lagi bekas penjawat awam tertinggi berasal dari Kelantan akan menyertai parti itu.
"Saya yakin dalam tempoh antara Ramadan dan Syawal, banyak lagi yang akan menyertai PAS dari kalangan bekas penjawat awam.
"Saya rasa sebelum Ogos (berakhir) atau September akan ada pengumuman dibuat berkenaan perkara ini," katanya.
Ramli sebelum ini mencuri
perhatian apabila terdapat dakwaan beliau dianiaya ekoran konspirasi
melibatkan peguam negara dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa
Hassan untuk melindungi tokoh kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau
Tengku Goh pada 2007.
Musa bagaimanapun menafikannya
manakala perdana menteri pula menolak penubuhan tribunal untuk
menyiasat perkara itu kerana berpendapat ia hanya dakwaan dan "Dakwaan
perlu disahkan".Malaysiakini
No comments:
Post a Comment