KUALA LUMPUR:
Pakatan Rakyat julung kalinya akan menganjurkan himpunan besar-besaran
yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November
nanti.
Dengan tema 'Himpunan Kebangkitan Rakyat', Pakatan Rakyat mensasarkan kehadiran sejuta rakyat negara ini.
Timbalan
Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, himpunan itu bertujuan untuk
menggesa lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil
(Bersih) yang hampir tidak dihiraukan langsung oleh pemerintah.
Katanya,
dua perkara pokok harus diberi penekanan oleh pemerintah terutama
daftar pemilih yang bersih dan media yang langsung tidak berubah.
Jelasnya,
kempen mengutuk himpunan Bersih 3.0 berterusan di media perdana
sedangkan pendengaran awam di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam)
telah menunjukkan bagaimana pihak keselamatan langsung tidak mengikuti
prosedur operasi standad (SOP) ketika mengendalikan himpunan pada 24
April lalu.
"Oleh kerana keadaan berterusan dan lapan tuntutan
oleh rakyat tidak dihiraukan maka kami perlu lagi satu himpunan pada 3
Nov nanti iaitu Himpunan Kebangkitan Rakyat," katanya dalam sidang media
di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata, himpunan itu akan
melibatkan Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan dan rakyat di luar sana
untuk menuntut seterusnya menyambung tuntutan Bersih yang mahukan
pilihan raya yang bebas dan telus.
"Apa terus meragukan misalnya ditemui 60 000 daftar pemilih pos yang tanpa proses semakan, yang perlu dijelaskan oleh SPR.
"Bagaimana
hendak adakan pilihan raya sedangkan daftar pemilih dan juga
penglibatan pengeluaran mykad palsu yang ditemui begitu ketara sekali,"
katanya.
Justeru, Pakatan khuatir bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengendalikan pilihan raya yang bersih untuk PRU-13 ini.
Turut
bersama dalam sidang media Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Rantau Panjang
Siti Zailah Mohd Yusof, Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud,
Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke,
dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua.
No comments:
Post a Comment