Saya
terasa bagikan kurang percaya membaca ulasan daripada Timbalan Menteri
Kewangan, Datuk Dr AWang Adek Hussein di dalam Sinar Harian hari ini, 8
Oktober 2012 semasa mengulas isu kenaikan harga gula.
Di dalam
kenyataan beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bachok, beliau menyatakan
bahawa masyarakat harus memandang positif kenaikan harga gula yang
diumumkan di dalam pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini.
Menurut Awang Adek, kenaikan tersebut bertujuan untuk mengelakkan rakyat sakit akibat mengambil gula yang berlebihan.
Pada
mulanya, saya menyangkakan barangkali kenyataan beliau telah tersalah
lapor memandangkan agak mustahil seorang Timbalan Menteri mengeluarkan
kenyataan sebegini dangkal.
Tetapi mengingat rekod beliau yang pernah ditabalkan sebagai
bakal Menteri Besar Kelantan satu ketika dahulu, beliau pada hemat saya
bukannya seorang yang cermat dalam mengatur gerak politik.
Sehingga
hari ini, saya percaya, pertabalan beliau sebagai bakal Menteri Besar
Kelantan satu ketika dahulu hanyalah untuk menyekatnya dari naik.
Teringat saya satu pepatah Greek yang di dalam bahasa Inggerisnya berbunyi, an old enemy never becomes a friend.
Hari ini, Awang Adek menyerlahkan satu lagi gerak catur politiknya yang menjemput checkmate.
Jika beginilah cara beliau menyokong kenaikan gula, ertinya beliau juga akan menyokong segala macam kenaikan harga selepas ini.
Kenaikan
harga petrol untuk menyekat rakyat daripada boros ke sana ke mari,
kenaikan harga minyak masak bagi mengelakkan rakyat mempunyai kolestrol
berlebihan dan semestinya pemasangan kamera saman trafik yang
berselerak sudah tentu bagi mengelakkan kemalangan jalan raya!
Perlu
diingat, hanya sekitar dua tahun lepas, harga gula masih di tangga
RM1.65 sekilo. pada bulan Julai 2010, ia dinaikkan kepada harga RM1.90.
Bulan
Disember tahun yang sama naik lagi kepada harga RM2.10 dan pada bulan
Mei 2011 naik lagi kepada harga RM2.30. Justeru, kenaikan 20 sen sekilo
yang diumumkan oleh Perdana Menteri di dalam pembentangan Bajet 2013
yang lepas ialah kenaikan yang kelima dalam tempoh 33 bulan.
Hakikatnya,
harga gula hari ini ditentukan oleh pasaran yang dimonopoli oleh
beberapa orang kroni tertenu sahaja. Sudah menjadi satu rahsia yang
terbuka bahawa hanya terdapat empat sahaja kilang pemeroses gula di
negara ini iaitu 4 kilang penghasilan gula di Malaysia iaitu MSM (Gula
Prai) Sdn Bhd, Central Sugar Refinery Sdn Bhd, Gula Padang Terap Bhd dan
Gula Felda Perlis Sdn Bhd.
Manakala individu yang paling
bertuah dalam industri gula ini ialah Raja Gula Robert Kuok, mengekori
daripada belakang ialah Tan Sri Syed Bukhary.
Pemilik empat
syarikat ini sahaja yang diberikan permit untuk mengimport bahan-bahan
bagi memperoses gula di negara ini. Selain daripada mereka, permit tidak
dikeluarkan secara terbuka.
Sewajarnya, Awang Adek bersuara
untuk menghapuskan amalan monopoli seperti ini yang akhirnya meletakkan
harga gula berada di tangan mereka.
Saya sangat sangsi bahawa
satu kontrak jangka masa panjang telah diberikan kepada mereka sehingga
kerajaan seolah-olah menjadi ðicucuk hidung untuk mengikut telunjuk
mereka.
Bolehkah sebenarnya harga gula diturunkan jika permit diberikan secara terbuka? Jawabnya boleh.
Ia
dinyatakan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu wawancara yang
disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 26 Januari 2010.
Antara lain
beliau berkata, "..Bagi kementerian ini, kita mencadangkan agar AP
dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin mengimport gula kerana
kita balik kepada teori permintaan dan bekalan.
Jika berlaku
lambakan gula di negara ini, harga akan turun. Cumanya, kita bimbang
pula kalau harga gula turun, orang akan ambil gula berlebihan..."
Ertinya
harga gula tidak mustahil boleh turun jika ia didagangkan secara
terbuka tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada para kapitalis yang
sudah buncit perutnya kerana kekenyangan ini.
Dari konteks
kerajaan pula, subsidi 20 sen yang dipotong ini hanyalah memberikan
pulangan penjimatan sebanyak RM163 juta sahaja, berbanding dengan
kenaikan harga barang yang tentunya akan menghimpit kehidupan golongan
marhaen.
RM163 juta yang dijimatkan oleh kerajaan hanyalah tiga
kali ganda sewa rumah Perdana Menteri dan Timbalannya yang berjumlah
RM49 juta setahun!
Saya kira Awang Adek lebih nampak cerdik jika
diam atau setidak-tidaknya memperrsoalkan amalam monopoli yang sedang
berlaku pada hari ini.
Bukan saya sahaja yang kesal dengan
amalan monopoli ini, bahkan Awang Selamat dalam kolumnya di Utusan
Malaysia turut kesal. Rujuk sahaja Utusan Malaysia 3 Januari 2010.
Jika
Utusan Malaysia yang dipercayai oleh PERKASA inipun sudah bangkit
bersuara dalam isu monopoli import gula, maka apatah lagi kita rakyat
biasa?
2 comments:
Harga gula naik elak kencing manis, harga minyak masak naik, elak kolestrol, harga garam naik, elak darah tinggi, harga minyak naik elak kereta laku dipasaran...
Dah mcm lagu bangau oh bangau da..yang dijaganya barang diorang mesti naik
Post a Comment