KUALA LUMPUR 4 APRIL: Kerusi yang bakal ditandingi Datuk Seri Anwar
Ibrahim di Perak dijangka terjawab berikutan pengumuman senarai penuh
calon KEADILAN di negeri itu berlangsung di Gerik 11 malam ini.
Pengumuman itu sempena Jelajah Merdeka Rakyat ke negeri itu yang dihadiri Ketua Umum.
Perak mencatat sejarah menjadi negeri pertama membuat penyenaraian penuh calon, diikuti lain-lain negeri.
Pengerusi KEADILAN Perak, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pengumuman
kerusi mana yang akan menjadi pilihan Anwar masih belum dapat
dipastikan.
“Kerusi mana pilihan Datuk Seri kita belum tahu lagi. Kita tunggu malam ini mungkin dia akan buat kejutan.
“Apapun, semua calon dan jentera pilihan raya negeri bersedia penuh untuk PRU 13,” katanya kepada Keadilan Daily.
Pada
sidang media di Ipoh semalam, Muhammad Nur berkata, KEADILAN Perak akan
menampilkan hampir 60 peratus muka baru di samping calon wanita bagi
memperkukuh kemenangan di negeri itu.
Beliau berkata, status quo bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan
Negeri (DUN) KEADILAN Negeri masih dikekalkan seperti mana PRU 12 lalu
iaitu 10 (Parlimen) dan 20 (DUN).
Bagaimanapun, katanya berlaku sedikit perubahan pada dua kerusi DUN
masing-masing di Lintang dan Changkat Jering apabila Majlis Pimpinan
Negeri menyatakan kesediaan untuk bertukar kerusi dengan PAS.
“Setakat ini, hanya satu kerusi sudah dimuktamadkan iaitu DUN Lintang
dipindah ke Kenering (Pengkalan Hulu) sementara Changkat Jering masih
dalam perbincangan akhir bersama PAS,” katanya, dipetik Sinar Harian.
Berdasarkan keputusan PRU lalu, KEADILAN menang di tiga kerusi iaitu
Bagan Serai, Sungai Siput dan Gopeng. Tujuh lagi kuota Parlimen adalah
Padang Rengas, Tambun, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datoh dan
Tanjung Malim.
Bagi DUN pula, KEADILAN menang di tujuh kerusi iaitu Kuala Kurau,
Kuala Sepetang, Changkat Jering, Simpang Pulai, Teja, Hutan Melintang
dan Behrang.
Pada PRU kali ini, Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Tambun.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=49175
No comments:
Post a Comment