Wednesday, November 13, 2013

PEMILIHAN PAS!!! Permata 'kepimpinan ulama' dalam perjuangan PAS

NONEULASAN Pembaca pelbagai penulisan serta ‘analisa politik dalaman PAS' yang begitu rancak disiarkan di media perdana mahupun media alternatif seperti Facebook dan Twitter sejak beberapa hari lalu amat menarik untuk diulas.

Ini ditambah pula dengan kerancakan pemilihan pucuk pimpinan parti yang bakal menerajui kepimpinan PAS menjelang muktamar yang akan berlangsung.

Kepimpinan ini jugalah yang bakal mewarnai corak dan pendekatan PAS bagi menghadapi cabaran politik akan datang.

Gambaran yang cuba dipaparkan adalah pertarungan sebenar aliran-aliran utama dalam PAS, khususnya golongan yang dilabelkan sebagai "kumpulan ulama" dan golongan yang dilabelkan sebagai "kumpulan profesional" dalam kepimpinan PAS.

Isu ini kian hangat diperkatakan apabila adanya pertandingan di peringkat negeri serta pencalonan untuk menerajui jawatan tertinggi dalam PAS.

Dua persoalan utama yang sering diperdebatkan serta dilemparkan kepada umum:

(1) Apakah PAS menggadaikan prinsip perjuangannya setelah menjalinkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP?


(2) Apakah benar-benar wujud pertembungan golongan dua kumpulan ini dalam kepimpinan PAS, terutamanya dalam menangani persoalan penglibatan serta kepimpinan dalam Pakatan?

Realitinya kepimpinan PAS memang terkenal dengan nama-nama ulama tersohor seperti Abu Bakar Baqir yang menubuhkan Hizbul Muslimin, Ahmad Fuad, Burhanuddin Al-Hilmy, Yusuf Rawa serta Datuk Fadzil Mohd Nor.

Kesemua mereka mengingatkan kita tentang pengorbanan besar ulama tersohor untuk perjuangan PAS.

Fikrah Fadzil Nor

Begitu juga tokoh profesional seperti Abbas Alias yang pernah memimpin PAS walaupun berjawatan sebagai pengarah hospital di Kuala Lumpur.

Nama-nama seperti Dr Zulkifli Mohamad serta tokoh-tokoh pendidik agung seperti, Profesor Aminuddin Baki dan Profesor Ungku Omar Ungku Ahmad juga banyak menyumbang kepada perjuangan PAS.

NONENamun bagi saya, nama Fadzil (kanan) adalah yang paling dekat dengan denyutan perjuangan yang saya sendiri lalui.

Almarhum seorang pemimpin ulama yang menguasai konteks, realiti dan cabaran pentas perjuangannya.

Ini intisari kekuatan fikrah almarhum sebagai seorang ulama, sekali gus mempamerkan penguasaan kepemimpinannya.

Beliau juga amat teliti menyorot setiap tindak rencana politiknya dalam menangani pergolakan politik dan persimpangan getir bagi menjamin kesinambungan perjuangan parti.

Seluruh tenaga kepimpinan PAS berjaya beliau gabungkan dengan mantap walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan disiplin ilmu.

Malah pada tahun 1997 sewaktu masih lagi menjadi pensyarah di Universiti Malaya (UM), saya sendiri pernah diberi amanah besar oleh almarhum untuk menubuhkan serta memimpin Pusat Kajian PAS (PPP).

Saya merasa bertuah mengenali dengan dekat peribadi almarhum sebagai seorang ulama agung pada fasa kemuncak perjuangannya.

‘Haibah' atau kehebatan penguasaan fikrah almarhum serta kepemimpinannya amat terserlah ketika negara diancam krisis politik yang tercetus akibat pemecatan dan tangkapan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memo ekonomi pada Mahathir

Begitu juga di waktu negara dilanda kegawatan ekonomi dan krisis mata wang pada tahun 1997.

Di waktu krisis kepimpinan negara memuncak inilah kepimpinan almarhum terserlah dengan hebat sekali.

Almarhum dengan penuh keyakinan ‘ijtihad' sebagai seorang pemimpin agung telah melebarkan lembayung kepimpinannya secara praktik.

azlanBeliau berjaya menaungi seluruh kepentingan negara dan umat dengan penuh kesabaran walaupun mendapat tentangan dari dalam parti pada tahap awalnya.

Begitu juga di tengah-tengah kegawatan ekonomi negara, beliau sendiri mengambil inisiatif bersama-sama dengan beberapa pakar ekonomi yang menyokong PAS dengan menggerakkan jawatankuasa khas bagi menyiapkan ‘Memorandum Penyelesaian Kemelut Ekonomi Negara'.

Saranan yang bernas itu disampaikan terus kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada waktu itu.

Sejarah mencatat secara abadi bagaimana bawah kepimpinan almarhum tercetusnya Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menangani kemelut politik negara.

barisan alternatifGERAK berjaya menggabungkan seluruh parti-parti pembangkang serta NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), MAUFAKAT serta masyarakat Cina dan India bagi membantah kepimpinan Dr Mahathir yang rakus dengan kuasa dan bersifat ‘kuku besi'.

Natijahnya amat jelas apabila berlaku perubahan besar dalam politik negara. PAS mengambil dimensi gabungan politik pembangkang atas wadah Barisan Alternatif (BA).

Hasilnya sehingga kini, betapa kebijaksanaan tindakan almarhum merubah landskap politik negara.
Malah ia mematangkan lagi dan mengangkat keberanian rakyat untuk menentang setiap kezaliman.

Kepimpinan buka pintu ijtihad

Bagi saya penubuhan GERAK ini cukup istimewa pada kepemimpinan politik almarhum.

Almarhum juga sering menekankan kepentingan ‘bersikap terbuka' dan menghormati rakan-rakan dari pelbagai latar belakang serta pertubuhan Islam lain seperti PUM, ABIM dan JIM.

Tidak ada sedikit pun sikap prejudis serta keraguan beliau apabila menerima ahli-ahli dari pelbagai latar belakang ini.

Malah beliau sendiri mengambil inisiatif bagi menonjolkan beberapa pimpinan pertubuhan ini untuk bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya 1999 dan seterusnya memegang beberapa jawatan penting dalam PAS.

Beliau amat mengungguli ciri kepimpinan yang sentiasa ‘berjiwa besar' dan tidak mudah melatah.
Sukar untuk saya rumuskan.

NONEYang nyata almarhum sebagai seorang ulama agung tidak pernah bersifat ‘jumud' menilai serta mentafsir setiap isu yang di hadapi oleh PAS.

Malah bawah kepimpinan beliau ‘pintu ijtihad' di buka luas dengan mengambil pendekatan politik yang ternyata membuahkan hasil bagi PAS.

Almarhum juga tidak pernah kedekut untuk berkongsi pengalaman dengan ramai kalangan golongan intelek berpendidikan barat dan sentiasa berusaha keras menggabungkan kekuatan kepimpinan PAS dari pelbagai latar belakang pendidikan serta disiplin ilmu.

Ini sesuai dengan PAS sebagai parti dan gerakan Islam terbesar di Malaysia.

Bagi saya almarhum adalah sosok peribadi ulama-profesional yang berjaya meletakkan PAS di persada politik negara.

Almarhum berkawan dan kenal rapat dengan siapa sahaja, dari kepimpinan tertinggi PAS kepada setiap ahli bawahan tanpa sebarang tembok pemisah.

Bukan parti murahan

Saya yakin tidak ada ahli PAS bahkan rakyat awam yang boleh 'mentajrih'nya atau mencari keburukannya cara almarhum melayani atau bermuamalat dengan mereka.

Lazimnya, akan ada saja ingatan manis untuk dikongsi bersama tentang keistimewaan peribadi almarhum.

Beliau bukan sahaja sebagai seorang ulama tetapi adalah seorang 'negarawan' yang sentiasa mendepani isu kepentingan negara dan masyarakat dengan penuh prihatin.

Ya, inilah juga ‘permata berharga kepimpinan ulama' yang kini ada pada kedua-dua pimpinan tertinggi PAS.

NONEMursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kanan) terkenal sebagai ulama yang memimpin bukan sahaja digeruni tapi disegani oleh kawan dan lawan kerana ketegasan serta sifat zuhud dan rendah diri yang sentiasa ada pada beliau.

Begitu juga dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga amat disegani di serata dunia oleh kawan dan lawan kerana kehebatan ilmu serta peribadi yang ada pada beliau.

Malah gabungan kemantapan kedua-dua pimpinan agung ini telah berjaya meletakkan PAS sebagai ‘kerajaan menanti' di persada politik nasional.

Ya, muktamar pada kali ini adalah tempat bagi setiap ahli dan pendokong PAS untuk lebih memahami realiti keperluan dan suasana yang dihadapi oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama yang wujud di negara ini.

NONEIsu-isu kritikal seperti 'tahaluf' dalam berpolitik, penyelesaian kemelut kepimpinan negara dan ekonomi negara seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) serta sistem pendidikan yang lebih bersifat holistik perlu diagendakan dengan lebih rapi.

Saya amat yakin dengan masa depan politik PAS. Ia kini berada di tahap 'kebijaksanaan' pemimpin membuat keputusan cabaran politik baru sama ada 'memimpin' atau 'dipimpin'.

Yang nyata, PAS bukan sebuah parti politik murahan yang boleh diperkudakan oleh mana-mana pihak.

PAS mempunyai organisasinya yang tersendiri dan setiap kepimpinan perlu patuh kepada disiplin dan adab-adab parti.

Tidak timbul soal ‘kumpulan ulama' dan ‘kumpulan profesional'. Jangan ada lagi keraguan ‘ulama diprofesionalkan dan profesional diulamakan' dalam saf kepimpinan PAS.

Inilah rahsia kekuatan PAS selama ini. Selamat bermuktamar.


DR SYED AZMAN AHMAD penolong setiausaha agung PAS.

No comments: