KOTA BHARU: Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Che Azmi Mohd Ali (gambar) bersetuju
menarik balik kenyataan berunsur fitnah terhadap Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman.
Selain itu MTRK menyatakan kekesalan terhadap
kenyataannya sebelum ini yang mendakwa berlaku salahguna kewangan Air
Kelantan Sdn Bhd (AKSB) oleh Exco dan pegawai AKSB untuk melancong ke
luar negara.
Persetujuan perintah dan penghakiman tersebut
direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim
di sini, hari ini.
Che Azmi yang juga adik kepada Presiden
Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pada kenyataan media pada 28 dan 29 Mei 2012
mendakwa berlaku salahguna kewangan AKSB oleh Exco terbabit dan beberapa
pegawai kanan AKSB untuk melancong ke Australia, Jerman, Sweden,
Finland, England, Mesir dan Afrika Selatan.
Ekoran itu Md Anizam memfailkan saman terhadap
Che Azmi, MTRK dan Utusan Malaysia serta menuntut defendan menarik balik
kenyataan tersebut, memohon maaf dan ganti rugi.
Peguam Hisham Fauzi yang mewakili plaintif
berkata, kes tersebut sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini
selama empat hari bermula hari ini.
Katanya, seramai enam saksi dijadualkan dipanggil memberi keterangan.
Bagaimanapun kes terbabit telah selesai melalui rundingan di luar mahkamah.
“Dengan
penghakiman dan persetujuan yang direkodkan itu juga maka tuntutan yang
difailkan di Mahkamah Tinggi dikira telah selesai,” katanya ketika
ditemui selepas prosiding kes itu.
Plaintif
turut diwakili peguam Mustaqim Zaki, manakala Che Azmi dan MTRK diwakili
Ilias Mohd Noor dan Norazli Ahmed. Utusan Malaysia diwakili Izral
Khairy.
Sementara itu
Md Anizam melahirkan rasa syukur kerana kes tersebut telah selesai dan
berharap tidak ada lagi pihak yang memfitnahnya dan AKSB lagi.
No comments:
Post a Comment