Thursday, March 6, 2014

APA SALAH ULTRAMAN?!!! Berapa banyak hura-hara, berapa banyak murtad kerana Ultraman?


ultramanTindakan Kementerian Dalam Negeri semalam mengharamkan buku Ultraman The Ultra Power atas alasan buku tersebut mengandungi unsur-unsur yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam telah dijadikan bahan jenaka di media sosial dengan rata-ratanya menyindir dan mengeluarkan pelbagai tafsiran di sebalik tindakan kerajaan itu.

Oleh kerana KDN tidak menyebut secara jelas sebab-sebab pengharaman itu, maka semua orang membuat pelbagai andaian sendiri mengenainya. Ada yang memberi hujahan serius, namun kebanyakannya lebih berbentuk sindiran atau lawak jenaka kerana siri Ultraman sendiri adalah karya animasi daripada Jepun yang begitu diminati oleh kanak-kanak.


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sendiri menyoal keputusan KDN itu dengan bertanya, "Apa salah Ultraman?" manakala bekas Ahli MT UMNO, Saifuddin Abdullah jelas tidak bersetuju dengan tindakan KDN itu dengan menulis di twitternya, "saya dari dulu tak setuju dengan kecenderungan mengharamkan buku. Kalau tak setuju, tulis buku lain untuk bidas."


Tetapi melalui fakta yang disebarkan mengenai kandungan buku tersebut, pengharaman KDN itu adalah dipercayai kerana adanya penggunaan nama Allah di dalamnya di mana Ultraman King yang dianggap paling berkuasa dan dihormati dilabelkan sebagai "Allah" atau Elder kepada semua wira ultra.


Jika ini alasan pengharaman itu, jelas bahawa ia hanyalah kesilapan teknikal di mana penulis telah melakukan "direct translation" daripada karya asal buku tersebut tanpa penguasaan yang mendalam mengenai Bahasa Melayu dan pemahaman mengenai Islam. Lebih mungkin penulisnya hanya melakukan terjemahan secara langsung tanpa pindasn melalui Google di mana "Elder" telah ditafsirkan sebagai "Allah".


Sekiranya penterjemah atau penerbit buku ini memahami bahasa Melayu, budaya Islam atau ia seorang yang beragama Islam, penggunaan nama Allah ini pasti tidak berlaku.


Dalam hal ini, tindakan KDN mengharamkan buku tersebut seolah-olah ia suatu keputusan besar yang menggambarkan ketegasan kerajaan dalam menjaga ketenteraman awam, nyata suatu kesilapan dan sesuatu yang berlebih-lebihan. 


Sementara banyak bahan penerbitan lain yang dibiarkan berleluasa seperti artis bergambar lucah dan sebagainya dalam pelbagai bentuk majalah dan penerbitan lain, kerajaan juga gagal bertindak sewajarnya dalam isu Syiah, golongan anti hadis dan ajaran sesat yang begitu menjadi barah dalam masyarakat sekarang ini.

Lebih-lebih lagi, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini begitu menghebahkan tentang pelbagai usaha yang mahu dilakukannya untuk menangani semua gejala itu, termasuk menubuhkan jawatankuasa mengenainya, polis syariah dan malahan berdegar-degar berucap di Perhimpunan Agung UMNO mahu menangkap seorang pemimpin politik yang dikatakannya cukup bukti untuk dikaitkan dengan Syiah.


Malangnya semua itu hanya umpama embun di pagi hari saja, terbit saja matahari hilanglah segala-galanya. Sementara masih tiada sebarang tindakan mengenai ajaran sesat yang nyata dan benar-benar wujud, dengan tindakan terhadap buku Ultraman ini hanya menggambarkan bahawa KDN hanya berani terhadap animasi, kartun dan benda-benda khayalan saja.


Haruslah diakui bahawa walaupun siri Ultraman itu popular dan ia gagah perkasa, tangannya sahaja boleh mengeluarkan api yang mampu meruntuhkan bangunan, ia sebenarnya hanyalah siri khayalan dan ciptaan semata-mata yang dianimasikan untuk hiburan kanak-kanak semata-mata.


Sesiapa juga yang pernah melalui zaman kanak-kanak dan mempunyai peti televisyen, pasti pernah meminati siri Ultraman ini, bahkan kanak-kanak begitu ingat bila waktu siarannya. Tetapi oleh kerana ia hanyalah khayalan dan hiburan semata-mata, ia tidak meninggallan kesan kepada ketenteraman awam. 


Apabila kanak-kanak mula dewasa dan memahami dunia realiti, mereka akhirnya sedar Ultraman hanyalah kartun dan hiburan saja. Ia tidak terbawa sehingga dewasa.

Bukan saja tidak ada kanak-kanak yang pergi ke Jepun semata-mata untuk mencari Ultraman dan tergila-gila memakai topengnya sehingga dewasa, bahkan tidak pernah dilaporkan juga ada yang penah murtad kerana terlalu memuja dan menggilai Ultraman King yang diterjemahkan sebagai Allah itu.


Dalam hal ini, apa yang seharusnya KDN lakukan ialah memanggil penerbit buku tersebut dan memintanya menarik baliknya edarannya yang mengandungi kalimah Allah itu serta menggantikannya dengan penggunaan bahasa yang lebih sesuai.


Sebagaimana kangkung yang digunakan oleh Perdana Menteri sebelum ini sebagai rujukan yang tidak tepat untuk mengaitkan penurunan harga barang, pengharaman buku Ultraman ini juga menggambarkan keputusan tidak wajar dan berlebih-lebihan oleh kerajaan. Ia seharusnya boleh diselesaikan secara dalaman dengan memanggil penulis dan penerbit buku itu saja.


Tidak perlu kecoh-kecoh. Walaupun banyak bangunan runtuh dan manusia mati kerana Ultraman, hakikatnya ia hanyalah siri kartun dan animasi saja. Apakah KDN hanya berani dengan kartun dan animasi saja tetapi tidak berani mengusik kesesatan dan bahaya yang betul-betul nyata di negara ini? (SH 07/03/2014)

No comments: