Wednesday, April 23, 2014

ISU HUDUD!!! UMNO jelas menolak, hanya produk 'War Room' UMNO





Tidak semena-mena Umno mendakwa mereka menyokong pelaksanaan hudud khususnya di Kelantan jika kerajaan negeri mahu melaksanakan hukum Allah tersebut. Sedangkan sebelum ini berbagai dalih dan alasan yang mereka berikan.



Di saat sesetengah pemimpin bawahan mereka bercakap untuk menyokong hudud, Dewan Undangan Negeri Terengganu yang bersidang minggu lalu menolak usul berkenaan hudud yang dibawa oleh Adun Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah. Malah 'Mursyid' mereka iaitu Mahathir juga mengulangi 'fatwa' lamanya dengan mengeluarkan kenyataan yang cukup 'mengerikan'.



Pimpinan kerajaan negeri Kelantan sejak dari zaman Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas ingin melaksanakan hukum hudud. Namun kekangannya ialah perlembagaan tertinggi negara kita yang jelas meletakkan apa juga undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan negara akan terbatal dengan sendirinya.



Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa menjadi Menteri Besar pernah beberapa kali 'memohon restu' untuk mendapat sokongan kerajaan pusat bagi melaksanakan kanun jenayah syariah negeri Kelantan berkaitan hudud, takzir dan qisas yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan di era 90-an.



Namun jawapannya adalah amat negatif. Lebih malang lagi kerajaan pusat pernah memberi amaran kepada kerajaan Kelantan supaya jangan melaksanakan draf undang-undang hudud ini di mana jika kerajaan meneruskan hasratnya kerajaan pusat akan bertindak. Begitulah kerasnya amaran yang diberikan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Kelantan. 



Malah bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub pernah membawa usul berkenaan hudud ini di Parlimen. Namun ianya ditolak dengan alasan tradisional oleh Speaker Dewan Rakyat. Ini jelas membuktikan bahawa Umno tidak mahu membantu Kelantan melaksanakan hukum Allah ini.



Kini Menteri Besar Kelantan sekarang, Dato' Ahmad Yaakob sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri serius untuk melaksanakan draf hudud ini. Antara usaha yang mereka rancang ialah untuk membawa usul ini di Parlimen melalui usul persedirian melalui Ahli Parlimen PAS. 



Namun begitu usul ini bukan semudah itu boleh diluluskan di Parlimen. Ini kerana Perkara 8 dan Jadual Sembilan Perlembagaan  Persekutuan jelas menjadi penghalang kepada usul ini. Perkara 8 berkaitan kebebasan beragama dan Jadual Sembilan perlembagaan negara secara terang menyatakan bahawa kuasa menggubal undang-undang jenayah terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan. Untuk meminda perlembagaan ini sokongan dari 148 ahli-ahli Parlimen diperlukan.  Umno tahu bahawa mana mungkin pindaan ini dapat dibuat. Pada masa sekarang PAS kekurangan 39 undi. Umno dengan sejumlah 88 Ahli Parlimen dan PAS dengan  21 Ahli Parlimen, maka PAS hanya mempunyai 109 undi sahaja. Jadi sudah tentu sokongan dari Ahli Parlimen PKR dan DAP.




Jadi dengan keadaan terkini di mana DAP terus menentang hukum hudud dan PKR pun tidak bersedia untuk memberikan sokongan maka sudah tentu usaha untuk meminda perlembagaan di Parlimen tidak akan membuahkan hasil. Jadi apa sebenarnya motif Umno membangkitkan isu ini.



Isu hudud produk ‘war room’ Umno


Persoalannya kini mengapa tiba-tiba isu ini timbul kembali setelah senyap beberapa lama. Adakah ianya sekadar untuk menutup isu-isu sensasi lain seperti isu kehilangan MH370, isu pelaksanaan GST yang membebankan rakyat dan sebagainya. Atau memang Umno betul-betul ikhlas mahu menegakkan hokum Allah yang sering mereka perkecilkan sebelum ini.



Tetapi apabila mantan Presiden Umno, Tun Dr.Mahathir  Mohamad mengeluarkan kenyataan negatif tentang hudu diikuti dengan tindakan Dun Terengganu menolak usul berkenaan hudud maka timbullah prasangka bahawa Umno masih belum berubah dan sememangnya tidak ikhlas menyokong pelaksanaan hukum hudud ini.  Mereka sengaja menimbulkan isu sokongan kepada hudud  bagi mengabui mata rakyat khususnya orang Melayu dan pada masa yang sama berusaha untuk memporak perandakan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.


Apakah isu sokongan Umno kepada hudud ini adalah merupakan 'produk' war room mereka yang khabarnya diujudkan untuk merancang, melaksana dan memantau gerakerja mempengaruhi minda rakyat supaya kembali menyokong Umno/BN setelah keputusan yang tidak memberangsangkan pada dua PRU 12 dan 13 lalu.



Pimpinan utama Umno tidak memberikan kenyataan rasmi berkaitan sokongan kepada hudud, namun keberanian beberapa pimpinan peringkat negeri menyatakan sokongan terbuka kepada hudud menjadi tandatanya. Kita semua tahu bahawa pimpinan-pimpinan di peringkat negeri tidak akan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian jika ia tidak mendapat restu dari pimpinan utama mereka. Sebab sudah menjadi tradisi dalam Umno jika tersilap cakap dan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan aspirasi pimpinan atasan, sudah tentu karier politik mereka berkubur atau secara mudahnya mereka akan ‘pendek umur’.


Umno/BN tahu bahawa isu hudud adalah senjata ampuh untuk mengeruhkan perhubungan mantap dalam Pakatan Rakyat khususnya DAP dan PAS.  Setiap kali isu hudud ini ditimbulkan oleh Umno maka pemimpin PAS dan DAP akan bercakaran antara satu sama lain. Itu yang Umno mahu. Sebab itulah isu hudud menjadi ‘fix deposit’ kepada Umno bagi mencapai senjata serampang dua mata mereka iaitu mendapat sokongan rakyat dan kedua memecahkan perpaduan dalam PR.



UMNO jelas tolak hudud



Namun hakikat sebenarnya, Umno jelas tidak mahu melaksanakan hudud. Ini dibuktikan dengan kenyataan demi kenyataan memperlekeh dan menghina hudud. Antaranya hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia, hudud bukan perkara pokok, hudud tidak boleh diamalkan kerana rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum, kalau hudud dilaksanakan ramai orang Islam yang kudung, habis batu di negara kita jika hudud dilaksanakan dan bermacam-macam lagi sindiran dan tohmahan yang cukup mengerikan kita mendengarnya.



Malah ada yang menuduh bahawa hudud yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Kelantan itu adalah hudud PAS bukan hudud Islam. Tetapi apabila PAS meminta Umno dan cerdik pandainya memberikan input dan memperbaiki mana yang kurang dalam 'hudud PAS' itu mereka senyap menyepikan diri seribu bahasa.

Bagi kita,  jika pun perlembagaan tidak dapat dipinda, Umno yang memegang tampuk kuasa mesti serius mendidik rakyat khususnya yang bukan Islam supaya faham kebaikan dan keistimewaan hukum hudud yang dijamin oleh Allah sangat adil dan mempunyai unsur-unsur pencegahan yang sudah tentu digeruni oleh manusia. Insya Allah jenayah akan menurun dan rakyat akan berasa lebih selamat. Malah draf undang-undang hudud jenayah syariah yang diperkenalkan oleh Kelantan jelas menyatakan bahawa ianya hanya dikenakan kepada orang Islam sehinggalah rakyat bukan Islam memahami kepentingan hukum hudud. Orang bukan Islam boleh memilih samada untuk diadili di bawah hukum hudud atau konvensional.

Umat Islam di negara kita sebenarnya sedang menunggu dengan penuh sabar apa tindakan yang Umno akan buat berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud ini. Jika usul ini ditolak pada persidangan Parlimen Jun ini ia bukanlah perkara pelik kerana sememangnya sudah dijangkakan. Tetapi ia akan bertambah pelik jika pimpinan Umno dengan jelas menyatakan sokongan kepada hudud tetapi pada masa yang sama tidak serius untuk ‘all out’ membuat penerangan kepada rakyat.

Kerajaan ada media elektronik dan media cetak. Mereka boleh menggunakan saluran media ini secara serius tanpa henti bagi menerangkan kebaikan hudud kepada rakyat. Kempen-kempen penerangan yang terancang dan merangkumi semua lapisan rakyat mesti dilaksanakan jika Umno benar-benar ikhlas. Insya Allah rakyat akan menerimanya kerana sudah pasti hukum Allah ini akan dapat menyelesaikan masalah jenayah yang kian meruncing dalam negara kita.

Rakyat bukan Islam juga akan dapat melihat dan membuat perbandingan kebaikan undang-undang hudud dan konvensional. Akhirnya mereka sendiri akan melihat keadilan dan kebaikan hudud serta menerimanya dengan hati terbuka tanpa syak wasangka.



Bola di kaki UMNO



Kini bola di kaki pimpinan Umno. Rakyat menunggu ke arah mana ‘bola’ ini akan ditendang oleh Umno. Pertama Umno menyokong usul hudud di parlimen atau menolaknya. Kedua jika usul ditolak rakyat khususnya umat Islam mengharapkan Umno melalui kerajaan pusat ‘all out’ menjalankan kempen penerangan tentang hudud bagi member kefahaman kepada semua rakyat Malaysia supaya mereka faham dan akhirnya menerima hudud dan undang-undang Islam lain sebagai jalan penyelesaian kepada masalah jenayah negara.



PR jangan melatah


Rakyat mengharapkan pimpinan PAS, DAP dan PKR jangan melatah dalam isu ini. PAS mempunyai prinsip, DAP dan PKR juga mempunyai prinsip. Mempertahankan prinsip masing-masing adalah hak parti-parti itu sendiri. Jika PAS berkeras untuk meneruskan niat mereka melaksanakan hudud, DAP berhak menentangnya berdasarkan prinsip mereka, PKR juga berhak menentukan pendirian mereka sendiri. PAS sendiri tidak perlu marah kepada DAP dan PKR jika kedua-dua parti tersebut tidak bersetuju. Namun perselisihan pendapat ini jangan sampai memecahkan perpaduan dalam PR.


Biarkan sahaja PAS membawa usul hudud ini di Parlimen. DAP dan PKR boleh tidak menyokong usul tersebut dan boleh juga berkecuali. PAS jangan marah kepada DAP dan PKR. Kita tengok adakah anggota Parlimen Umno akan menyokong usul tersebut. Kalau Umno betul-betul ikhlas sudah tentu Najib, Mahyuddin dan semua anggota Parlimen Umno akan menyokongnya. Kita tengok nanti adakah Speaker akan memberikan peluang untuk usul ini dibahas dan diundi. Jika Speaker awal-awal menolaknya maka kita tahu tembelang Umno.



Jika usul ini ditolak rakyat ingin melihat reaksi Umno, Apakah mereka ikhlas mahu hudud dilaksanakan. Jika benar mereka ikhlas mereka akan merancang  kempen besar-besar member penerangan kepada rakyat ….. jika mereka berdiam diri maka rakyat juga akan tahu tembelang mereka.

Kita tunggu dan lihat.........





Penulis : Sofi Wahab (http://www.facebook.com/sofiwahabpj9)
TPJ3 PAS Melaka/Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil

No comments: