SHAH ALAM 2 APRIL: Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin
berkata membaca berita negara asing yang menghantar kapal selam untuk
membantu mencari pesawat MH370 terasa alangkah indahnya jika Malaysia
juga mempunyai kapal selam yang boleh berfungsi baik.
Dr Asri berkata, pelbagai isu kapal selam negara sudah lama
kedengaran dengan kos pembelian Kapal Selam Scorpene daripada Peranchis
dianggarkan berjumlah USD580 juta.
“Dalam
keadaan seperti ini alangkah cantiknya jika ia dapat memberi sedikit
sumbangan sepadan dengan harganya yang mahal,” tulis Dr Asri di laman
sosial Facebooknya.
Beliau berkata, walaupun ada yang berkata ia tidak sesuai kerana
tidak seperti yang dimiliki oleh ‘jiran sebelah’, tapi jawapan itu tidak
memberikan kebanggaan pada negara.
Sebelum ini, Kapal selam kelas Trafalgar Britain, HMS Tireless, telah
tiba di selatan Lautan Hindi tatkala misi mencari pesawat Malaysia yang
hilang di kawasan itu masuk hari ke-26 hari ini.
Kerajaan UK juga membantu dengan meminjamkan pakar untuk memberikan
bantuan teknikal dan keupayaan kepakaran dari Kementerian Pertahanan,
Pejabat Hidrografik, Jabatan Pengangkutan dan Pejabat Meteorologi untuk
membantu mengesan pesawat itu, katanya.
Penerbangan
MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan
radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas,
kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL
pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada
6.30 pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di
kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya – selepas pesawat itu dikesan
melencong daripada laluan – di sepanjang dua koridor iaitu koridor
utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand
dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat
telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan
Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di
sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan
Hindi, barat Perth, Australia.Selangorkini
No comments:
Post a Comment