Bekas Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin rupanya bukanlah seorang
yang mahu mengakui kesilapan serta mudah mengungkapkan kata-kata maaf
atas keterlanjuran perbuataannya.
Setelah tindakannya menulis di twitter
sesuatu yang tidak wajar mengenai kematian Karpal Singh dan ditegur
oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau nampaknya bukan saja
tidak mahu mengalah, malah seolah-olah beliau tidak pernah melakukan
kesilapan sebelum ini.
Di ketika semua pihak, termasuk Najib sendiri menunjukkan sikap terpuji
dan merasakan kehilangan atas pemergian Karpal Singh dalam kemalangan
jalanraya, Zulkifli terus angkuh dengan menempelak pula KJ yang
bertindak betul menegur dan menyuruhnya diam akibat kenyataannya yang
keterlaluan itu.
Sebaik kematian Karpal Singh, Zulkifli menulis di twitter yang memberi
gambaran seolah-olah Allah sengaja mematikan Ahli Parlimen Bukit Gelugor
itu untuk memberi laluan kepada Pas melaksanakan hukum hudud di
Kelantan.
Ini berikutan Karpal sebelum ini menentang perlaksaan hukum
itu dengan keras sambil memberi amaran "langkah mayat saya dulu" jika
mahu hukum Islam itu dilaksanakan.
Komen Zulkifli yang dianggap keterlaluan, tidak sesuai dengan suasana
keluarga Karpal yang sedang dalam kesedihan dan cuba mempolitikkan
kematian tokoh DAP itu, bukan saja dikecam oleh banyak pihak, termasuk
menteri dan komponen BN sendiri, tetapi KJ adalah yang paling awal dan
lantang mengkritik bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu itu.
KJ tidak saja mendesaknya agar diam tetapi juga mengeluarkan kenyataan
bahawa beliau malu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Zulkifli itu,
lebih-lebih lagi beliau pernah menjadi calon BN di Shah Alam dalam
pilihanraya lalu dan seterusnya menyatakan tidak seharusnya dipilih
sebagai calon lagi dalam mana-mana pilihanraya selepas ini.
Reaksi KJ yang keras tetapi bertepatan dengan sesiapa saja yang
berfikiran waras itu telah mengundang rasa kurang senang Zulkifli dengan
membalas di twitternya bahawa beliau sebenarnya malas melayan menantu
Pak Lah itu tetapi semata-mata kerana kasihan kepada Perdana Menteri,
Najib Razak saja.
Sambil itu, beliau juga menyindir KJ dengan mengingatkannya agar tidak
menjadi Anwar Ibrahim kedua dalam keghairahannya bermain politik.
Barangkali kerana merasakan beliau sudah mampu berdiri sendiri dan tidak
perlu dikaitkan lagi dengan Pak Lah, KJ lantas mengingatkan Zulkifli
agar menjadi anak jantan dan terus merujuk kepada namanya saja.
Walaupun ada yang menyebut apa perlunya dua orang pemimpin Melayu
bertelagah hanya kerana Karpal Singh, tetapi dalam isu ini ternampak
kebenaran lebih berpihak kepada KJ. Tegurannya kepada Zulkifli adalah
wajar dan tidak semua perkara harus dikaitkan dengan perkiraan untung
rugi politik.
Sesiapa pun boleh berbeza pendapat dengan Karpal semasa hidupnya tetapi
setelah kematiannya, apa yang harus dikenang ialah jasa dan
sumbangannya.
Lihatlah bagaimana Mahathir, Pak Lah, Najib, Samy Vellu
dan lain-lain pemimpin memberi reaksi dan menunjukkan jiwa besar atas
pemergian Karpal walaupun semasa hayatnya sering bertelagah dan berbeza
pendapat.
Walaupun penentangan Karpal terhadap hudup tiada kaitan secara langsung
dengan Zulkifli dan komennya lebih sebagai "batu ronson" semata-mata,
hakikatnya Zulkifli tidak dapat membezakan antara menghormati orang
hidup dengan orang yang sudah meninggal dunia.
Sudahlah beliau tidak mahu mengakui kesilapan dan meminta maaf atas
keterlanjuran kata-katanya itu, beliau juga nampaknya cuba menyerang
orang yang cuba menegurnya sambil cuba berselindung di belakang Najib
seolah-olah memohon simpati dan perlindungan.
Kasihan Najib konon! Kalau kasihan Najib beliau tidak akan memberi
reaksi tidak sewajarnya mengenai kematian Karpal. Ini kerana Najib
sendiri menzahirkan simpati dan merasa kehilangannya. Reaksi beliau itu
lebih untuk "membunuh" Najib.
Sebenarnya Zulkifli perlu mengasihani dirinya sendiri. Ini kerana jelas
bahawa pemikiran dan tingkah lakunya tidak selari dengan majoriti rakyat
negara ini lagi.
Pemikiran kunonya mengenai politik, perkauman,
perpaduan dan menghargai manusia lain sudah menjadi dinosaur yang tidak
sesuai lagi dengan manusia yang berakal dan bertamaddun.
Jika Najib dan BN ingin mencapai keputusan lebih baik dalam pilihanraya
umum akan datang, species seperti beliau perlulah dijauhi. Membiarkan
diri berdampingan dengannya akan mengecilkan lagi sokongan dan undi
rakyat keseluruhannya.
Najib perlu mengkaji, undi siapakah yang perlu diraihnya dalam
pilihanraya akan datang dan apakah manusia yang berfikiran seperti
Zulkifli boleh menambahkan undi BN secara keseluruhannya atau
persaraannya secara total jauh lebih baik lagi?
Jika Najib dapat menjauhkan dirinya dengan semua yang sejenis dengan
Zulkifli yang kini begitu ghairah menonjolkan diri melalui media dengan
pelbagai reaksi berbentuk provokasi, perkauman, memecah-belah perpaduan
dan seumpama dengannya, lebih menguntungkan lagi.
Fikirkan dengan mendalam sebelum terlambat. (SH 18/04/2014)
No comments:
Post a Comment