KUALA TERENGGANU, 16 Mac : Kerajaan Barisan Nasional (BN) didakwa masih gagal menunaikan sebahagian besar manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya umum lalu, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman.
Menurut Ariffin, melalui pemerhatiannya masih banyak janji yang diberikan kepada rakyat belum tertunai, terutama dari segi penyediaan peluang pekerjaan untuk golongan belia negeri ini.
“Kalau kita tengok, peluang kerja di negeri ini memang kurang, apatah lagi dengan keadaan ekonomi belum pulih sepenuhnya memeritkan lagi mereka mencari kerja,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata, kerajaan BN hanya menumpukan kepada pemberian wang ihsan kepada golongan tersebut sedangkan kaedah itu tidak memberi keuntungan pada jangka masa panjang selain meraih sokongan semata-mata.
Selain itu katanya, usaha pembasmian kemiskinan oleh kerajaan BN juga masih belum berjaya sepenuhnya apabila ramai rakyat negeri ini tergolong dalam kelompok miskin.
“Isu kemiskinan seolah-olah tidak berkesudahan sedangkan ia perkara penting harus diselesaikan bagi memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan lebih selesa berbanding sekarang,” katanya.
Dalam masa sama, Ariffin yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu turut menggesa Kerajaan Pusat menyegerakan pemberian royalti minyak kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan rakyat menikmati hasilnya.
Menurutnya, janji penyerahan itu telah sekian lama dibuat namun belum terlaksana sepenuhnya sehingga menyebabkan pihaknya berasa kesal kerana ia bukan untuk kepentingan pembangkang sebaliknya rakyat negeri ini.SH
No comments:
Post a Comment