Tuesday, March 16, 2010

Tiada anggota tinggal Mesyuarat Agung PKR Kuala Selangor


SHAH ALAM , 16 Mac : Tiada anggota meninggalkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor, kata Setiausaha kepimpinan Negeri Selangor dan PKR Malaysia, Hamidi Hassan.

Beliau berkata, terdapat beberapa isu ditimbulkan beberapa pihak berhubung perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Cabang Kuala Selangor yang diadakan pada 14 Mac lalu.

Menurutnya, sebagai ketua wakil pemantau dari Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, beliau ingin membuat penjelasan agar ahli parti dan rakyat mendapat gambaran jelas tentang apa sebenarnya berlaku.

“Isu yang dibangkit semasa mesyuarat itu adalah berkaitan ketiadaan salinan notis Mesyuarat Agung dalam Laporan Tahunan yang diedarkan.

“Notis bertulis bertarikh 25 Februari 2010 telah dikeluarkan kepada semua ahli dan Cabang juga mengambil inisiatif mengeluarkan iklan dalam akhbar Sinar Harian bagi memastikan semua ahli sedia maklum tentang tarikh serta tempat mesyuarat ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Hamidi berkata, langkah berkenaan juga diambil bagi menangani masalah notis yang tidak dapat disampaikan melalui pos.

Mengenai isu kehadiran ahli, beliau berkata, kehadiran yang dicatatkan adalah seramai 241 orang dan jumlah itu lebih daripada mencukupi untuk memenuhi kehendak Perlembagaan di mana Mesyuarat Agung mesti dihadiri sekurang-kurangnya 30 ahli yang membayar yuran tahunan mereka.

“Jumlah ini jauh lebih baik dari kehadiran sebelum ini dan sepanjang pemerhatian kami, kejadian meninggalkan dewan semasa mesyuarat berlangsung tidak pernah berlaku,” katanya.

Menurut beliau, mereka yang mendakwa ‘meninggalkan’ mesyuarat itu tidak berada dalam dewan ketika mesyuarat berlangsung malah kenyataan bahawa 50 orang terlibat adalah tidak benar.

Katanya, terdapat dakwaan bahawa seorang ahli jawatankuasa (AJK) Cabang adalah bankrap dan tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, semakan di Jabatan Insolvensi pada 21 Januari 2010 telah mendapati AJK yang dimaksudkan terbabit bukanlah seorang bankrap.SH

No comments: