SEREMBAN, 11 Mac : Isu lompat parti membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) kebelakangan ini tidak mampu mengalih pandangan rakyat terhadap masalah dalaman parti dalam Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, isu tersebut sengaja dimainkan sebagai taktik untuk mengalihkan perhatian rakyat yang sememangnya tahu krisis kepimpinan dalam parti-parti komponen BN berlaku disebabkan banyak puak ingin berebut jawatan.
“Sebagai contoh, kita dapat lihat MCA sedang berdepan masalah memilih Presiden. Tiga calon berebut jawatan itu.
“Sebaliknya, kita dalam PR tidak berebut jawatan. Sesiapa sahaja yang layak berhak jadi pemimpin,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Perdana ‘Semboyan Halilintar ke Putrajaya’ di Pusat Komersial Oakland, dekat sini, malam kelmarin.
Selain itu, kata beliau, BN turut melaksanakan pelbagai strategi untuk mengganggu pentadbiran Kerajaan Negeri di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah.
Bagaimanapun, katanya, semua strategi berkenaan tidak berupaya menjejaskan perpaduan dan kekuatan parti-parti komponen PR yang terjalin sejak 1999.
“Jelas terbukti keyakinan rakyat terhadap perjuangan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan retorik semata-mata. Rakyat lebih percaya terhadap PR yang memperjuangkan hak semua kaum di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam ceramahnya berkata, partinya berdepan pelbagai perang psikologi dilancarkan BN sejak empat dekad lalu.
Namun, katanya, DAP masih kekal bertahan hingga ke hari ini bagi membuktikan BN yang takut kepada pembangkang dan bukan sebaliknya.SH
No comments:
Post a Comment