Wednesday, April 28, 2010

Kes bunuh remaja : MB akan jumpa ketua polis


SHAH ALAM, 28 April ; Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berhubung kejadian seorang remaja maut di tembak polis ketika cuba melarikan diri bersama rakan di Klang, kelmarin.

Abdul Khalid berkata, perbincangan tersebut diharap membolehkan pihak polis memberi penjelasan terhadap kejadian itu seterusnya memberi jaminan keselamatan kepada orang ramai supaya tidak wujud perasaan takut kepada polis ekoran tindakan tersebut.

“Saya difahamkan remaja berusia 15 tahun itu memandu pada waktu awal pagi dan terkejut apabila terserempak dengan pihak polis lalu melarikan diri. Ia adalah suatu perkara yang sukar untuk kami memahaminya.

“Perkara terbaik yang saya cadangkan ialah akan menjemput Ketua Polis Selangor dua minggu akan datang selepas kita membincangkannya pada mesyuarat exco esok (hari ini),” katanya kepada media selepas Majlis Perlancaran Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC) di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian tersebut akan dibincangkan pada Mesyuarat Exco esok (hari ini) adalah bagi mendapatkan pandangan daripada Exco Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata, beliau akan mengarahkan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail untuk memantau keadaan keluarga mangsa selepas ini.

“Kita akan berbincang dengan Exco Kebajikan untuk memantau keadaan keluarga tersebut selepas apa yang berlaku. Kita akan melakukan yang terbaik kepada keluarga mangsa serta rakan-rakannya bagi membolehkan mereka merasai kebebasan dengan memberi kaunseling yang sewajarnya,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, remaja terbabit, Aminulrashid Amzah, 15, dilaporkan menaiki kereta Proton Iswara bersama seorang rakannya sebelum terserempak kereta peronda polis.

Polis kemudiannya mengarahkan remaja itu memberhentikan kereta selepas melihat keadaan mereka yang mencurigakan tetapi remaja berkenaan cuba melarikan diri menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan dan satu daripadanya mengenai remaja berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Khalid menafikan desas desus mengatakan Kerajaan Negeri akan menarik balik subsidi air pada Jun depan.SH

No comments: