Tuesday, May 11, 2010
Harusani diminta keluar fatwa judi bola
PARIT BUNTAR , 11 Mei : Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria digesa membuat kenyataan berhubung tindakan kerajaan yang akan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan ketika kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 awal bulan depan.
Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, sudah sampai masanya mufti mengeluarkan kenyataan supaya umat Islam di negeri ini tidak keliru dengan tindakan kerajaan ini.
“Sebelum ini, beliau pantas membuat kenyataan dan menyatakan hukum terhadap tindakan kerajaan atau pimpinan Pakatan Rakyat (PR).
“Namun, apabila melibatkan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bercanggah dengan Islam sampai hari ini beliau diam membisu tanpa sebarang kenyataan,” katanya.
Fakhrurrazi berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan usaha membasmi perjudian, bukan menghalalkannya untuk mendapatkan keuntungan.
“Judi adalah haram bagi semua agama di negara ini. Tidak ada agama yang menghalalkan tabiat judi yang jelas merugikan kewangan rakyat dan negara.
“Jika lesen dikeluarkan pun, tetap akan ada aktiviti judi secara haram. Kita bukan negara yang bebas melakukan apa sahaja termasuk perjudian dan kemaksiatan yang ditegah Allah selama ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun jelas haram hukumnya, tetapi rakyat menunggu kenyataan daripada pihak yang berautoriti menyatakan hukum iaitu Mufti dan Majlis Fatwa.
“Rakyat menunggu kenyataan Mufti dan Majlis Fatwa. Rakyat mahu kerajaan mengharamkan judi dan memerangi industri haram ini hingga ke akar umbi.
“Kerajaan juga tahu bahawa begitu banyak aktiviti judi haram di negara ini. Jadi, kerajaan tidak perlu menimbangkan apa-apa permohonan untuk perjudian sempena Piala Dunia 2010 bulan hadapan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat tidak reda dengan kepimpinan yang ada kerana sanggup mencampuradukkan hasil negara dengan sumber yang haram seperti judi dan arak.
“Amat memalukan bila yang mahu meluluskan lesen ini adalah kalangan menteri UMNO yang beragama Islam, manakala yang menentang perjudian ini pula adalah wakil rakyat dari DAP yang dituduh oleh UMNO sebagai anti Islam,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Maksiat!!!!! Negara Islam Malaysia Luluskan Lesen Judi
Post a Comment