Tuesday, May 11, 2010
Roboh kuil - Penduduk beri kata dua
BUNTONG , 11 Mei : “Jika tiada usaha untuk membantu kami selamatkan kuil ini, kami akan adakan demonstrasi.”
Itulah keluhan penduduk setinggan Jalan Sungai Pari di sini yang kecewa dengan tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh (PDTK) kerana mengeluarkan notis supaya mereka mengosongkan kuil yang sudah 68 tahun di situ, dalam tempoh 14 hari.
Wakil penduduk yang juga pengerusi Kuil Dewa Sri Idukadhu Kaliamman Buntong, P Krishnan berharap satu tapak alternatif diluluskan iaitu di belakang kuil berkenaan agar mereka dapat memindahkan kuil itu.
“Tapak di belakang kuil ini adalah hak milik pemaju, dan permohonan untuk mendapatkan tapak itu sudah dihantar pada tahun 2008 namun tiada sebarang jawapan.
“Kami sedar, tapak sedia ada memanglah Tanah Wakaf Perkuburan Islam namun berikanlah kami tempoh dan masa yang secukupnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Menurutnya, mereka bukan mahu mengingkari perintah yang dikeluarkan namun memohon agar dapat diberikan kelonggaran, iaitu laluan di sebelah kuil yang bukan rizab tanah wakaf itu dapat dijadikan laluan.
“Di sebelah kiri kuil ini, terdapat sebuah rumah kosong, dan sekiranya rumah itu dirobohkan, bolehlah kami bina pintu masuk ke kuil memandangkan pintu masuk kuil ini akan ditutup,” katanya.
Krishnan berkata, pihak kuil menerima notis bertulis daripada PDTK pada 4 Mei lalu dan sehingga kini tiada sesiapa daripada pihak berkenaan yang tampil untuk membincangkan masalah mereka.
Katanya, dalam tempoh yang sesingkat itu, penduduk tidak berupaya mencari tapak gantian.
Dalam pada itu, wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramanian berkata, beliau didatangi oleh wakil kuil berkenaan dan menjelaskan kepada beliau bahawa keadaan di sekeliling kuil itu telah diratakan.
“Mereka bimbang sekiranya kuil mereka akan diruntuhkan oleh pemaju, dan saya amat risau jika perkara tidak diingini berlaku di antara pemaju dan penganut kuil berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, semasa di bawah pimpinan Pakatan Rakyat pada tahun 2008, permohonan untuk mendapatkan tapak gantian kuil itu sudah dikemukakan kepada PDTK namun tiada sebarang maklum balas.
“Bagaimanapun, setelah hampir dua tahun pihak kuil menerima notis yang mahu ia dikosongkan segera,” katanya.
Sivasubramaniam berkata, kerajaan perlu mengambil kira masalah ini kerana ia melibatkan sensitiviti agama dan kaum.
Katanya, apa diharapkan supaya perbincangan antara PDTK, Kerajaan Negeri dan penduduk diadakan bagi menyelesaikan kemelut ini dengan lebih teratur.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment